Tekoma mula berbunga

Tekoma akan berbunga ketika musim panas pada bulan Mac atau April.
Tekoma akan berbunga ketika musim panas pada bulan Mac atau April.
A
A
A

GEORGETOWN - Digelar 'sakura Malaysia', pokok tekoma kini mula berbunga menjadikan Pulau Pinang umpama negara Jepun.

Tekoma berasal dari Amerika Tengah dan benua Amerika Selatan, namun di negara ini ia dikenali sebagai pohon Cherry Blossom kerana bunganya yang lebat seperti sakura Jepun.

Tekoma yang diberi gelaran 'sakura Malaysia' mula berbunga di Pulau Pinang.
Tekoma yang diberi gelaran 'sakura Malaysia' mula berbunga di Pulau Pinang.

Difahamkan, tempoh pokok tekoma ini berbunga tidak lama iaitu kira-kira dua minggu sahaja dan akan gugur sekiranya hujan atau angin kuat.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Azhar Arshad berkata, sebanyak 3,002 batang pokok tekoma telah ditanam di kawasan Seberang Perai sejak 2017.

Menurutnya, penanaman pokok itu dibuat sempena bulan kemerdekaan iaitu pada 27 Ogos 2017.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 3,002 batang pokok tekoma ditanam di kawasan Seberang Perai.
Sebanyak 3,002 batang pokok tekoma ditanam di kawasan Seberang Perai.

"Lokasi utama adalah di kolam tadahan Bandar Perda dan sebanyak 12 lokasi lain di seluruh Seberang Perai turut ditanam dengan pokok ini. Kita mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) selepas menanam 3,002 batang pokok tekoma.

"Ia akan mula berbunga pada musim kemarau panjang dengan suhu 38 darjah celcius iaitu lazimnya pada bulan Mac atau April. Kebanyakannya berbunga berwarna merah jambu dan putih. Ia turut dikenali sebagai 'sakura Malaysia' atau 'sakura Kedah'," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Tambahnya, antara lokasi penanaman pokok tekoma di Seberang Perai Utara (SPU) adalah Taman Bagan (Jalan Bagan 45); Taman Riang, Taman Perda lndah dan Jalan Sungai Lokan.

Tempoh pokok tekoma berbunga hanya kira-kira dua minggu sahaja.
Tempoh pokok tekoma berbunga hanya kira-kira dua minggu sahaja.

"Di Seberang Perai Tengah pula, pokok ini ada di kolam tadahan bersebelahan lbu Pejabat MPSP di Bandar Perda; Rezab Jalan Bulatan Bukit Tengah; Rezab Parit Monsun, Bandar Perda, Taman Tunku dan Autocity.

"Sementara itu, di Seberang Perai Selatan pula, ia terdapat di Taman Rekreasi Valdor; Taman Belatuk I; Taman Bersatu, Taman Seri Bayu dan Bandar Tasek Mutiara," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Landskap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Azizul Fahmi Muhamad berkata, terdapat 3,047 batang pokok tekoma ditanam di kawasan seliaannya iaitu di bahagian pulau.

Bunga berwarna merah jambu dan putih menjadi tarikan untuk orang ramai bergambar.
Bunga berwarna merah jambu dan putih menjadi tarikan untuk orang ramai bergambar.

Menurutnya, tujuan pokok tersebut ditanam adalah untuk menghijaukan kawasan sekitar Pulau Pinang khususnya bahagian pulau dan mewujudkan suasana yang indah memandangkan pokok tekoma berbunga seakan-akan bunga sakura di negara Jepun.

Azizul berkata, penanaman pokok tersebut akan dikhususkan di kawasan tanah lapang sahaja selepas ini.

Antara lokasi penanaman pokok tekoma di kawasan pulau adalah di Jalan Sultan Ahmad Shah; tanah lapang di Sunway Tunas; tanah lapang di Sungai Ara, Lilitan Sungai Ara dan Persiaran Bayan Mutiara.

Lokasi lain adalah Jalan Baru di Balik Pulau; Bukit Gambir di Universiti Sains Malaysia; Persiaean Sungai Emas; Jalan Tengah; Jalan Jelutong, Bulatan Bayan Lepas dan Jalan Bricklin Titi Merah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!