Maszlee calon pertama tiba di pusat penamaan
SIMPANG RENGGAM - [DIKEMAS KINI] Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Maszlee Malik, tiba di Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang di Dewan Mufakat, Majlis Daerah Simpang Renggam, di sini, pada jam 8.30 pagi.
Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam dijangka ditentang tiga penjuru daripada Barisan Nasional (BN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Perikatan Nasional (PN).
Maszlee yang berbaju Melayu itu tiba ditemani seorang penyokong dan pencadang calon sebelum memasuki dewan utama bagi proses penghantaran borang calon.
Proses penamaan calon dijadual bermula pada jam 9 pagi hingga 10 pagi.
Beberapa minit selepas itu, calon daripada Pejuang yang merupakan calon termuda bagi DUN tersebut, Ahmad Shafiq Othaman tiba di PPC pada jam 8.50 pagi.
Ahmad Shafiq tiba dengan berbaju Melayu putih lengkap diiringi dengan seorang penyokong dan pencadang calon.
Calon PN, Alagathiran Krishnan yang merupakan Ketua Pemuda Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Johor tiba pada jam 8.59 pagi ditemani pencadang dan penyokong.
Selain dari itu, calon daripada UMNO, Abdul Mutalib Abd Rahim tiba pada jam 9.06 pagi
Mantan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Warisan Negeri Johor itu dilihat tiba di pusat penamaan calon bersama pencadang dan penyokong calon.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis memaklumkan bahawa tiada sebarang aktiviti berkumpulan dan berarak dibenarkan di mana-mana Pusat Penamaan Calon (PPC) ketika proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon sahaja dibenarkan masuk ke PPC bagi memastikan semua calon dan parti politik mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Pegawai Pengurus DUN Layang-layang, Abdul Hakim Abd Manap telah mengumumkan penyerahan borang pencalonan tamat pada jam 10 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!