Tuchel akui Chelsea terkesan isu Rusia-Ukraine

Roman Abramovich pemilik Chelsea. - Foto AFP
Roman Abramovich pemilik Chelsea. - Foto AFP
A
A
A

THOMAS Tuchel mengakui pencerobohan Rusia ke atas Ukraine selain kesan peperangan menyelubungi kem Chelsea boleh mengubah persepsi orang ramai terhadap kelab London dimiliki Roman Abramovich itu.

“Kita tidak sepatutnya berpura-pura bahawa pencerobohan Rusia bukan isu besar dan saya amat bersetuju.

"Sejujurnya situasi untuk semua orang. Tiada siapa yang menjangkakan situasi sebegini.

Ia juga mengaburkan fikiran kami ketika keterujaan para pemain ke final Piala Liga seterusnya membawa ketidakpastian yang besar pada masa depan.

“Ya, kesan lebih banyak lagi kepada semua orang dan keluarga terlibat berbanding kami dan fikiran pada masa ini jelas tertuju kepada mereka yang sememangnya paling penting,” kata pengendali Chelsea itu ketika ditanya bagaimana perasaannya mengenai Rusia, Abramovich semasa perbahasan parlimen mengenai sekatan terhadap rejim Vladimir Putin.

Pada masa sama pengendali dari Jerman itu bersetuju dengan keputusan melucutkan hak Rusia sebagai tuan rumah final Liga Juara-Juara, seperti disahkan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menyaksikan venue perlawanan akhir musim ini dipindahkan dari St Petersburg ke Paris.

"Kami di Chelsea benar-benar memahami keputusan UEFA itu dan ia adalah disebabkan situasi semasa paling teruk pada ketika ini," kata Tuchel yang mengemudi The Blues memenangi kejuaraan Eropah tahun lalu, apabila perlawanan akhir ditukar dari St Petersburg ke Porto berikutan pandemik Covid-19.

Biarpun bekas pengendali Borussia Dortmund dan Paris St Germain (PSG) itu mengaku lebih suka bercakap semata-mata mengenai bola sepak, namun menyedari ia sesuatu yang mustahil pada ketika tumpuan dunia lebih terarah kepada peristiwa besar yang melanda Ukraine.

Artikel Berkaitan:

Malah tambah Tuchel, Chelsea yang merupakan satu-satunya kelab Liga Perdana Inggeris milik Rusia, berkemungkinan menjadi sasaran tindak balas sentimen anti-perang.

"Pada tahap tertentu saya boleh memahami pendapat kritikal terhadap Chelsea, terhadap kami yang mewakili kelab itu.

Saya boleh memahami situasi itu dan kami tidak boleh membebaskan diri sepenuhnya daripadanya.

Mungkin orang faham bahawa saya sebagai jurulatih atau pemain, kami tidak mempunyai pandangan mengenai apa yang sebenarnya berlaku.

"Sejujurnya kami juga tidak mempunyai banyak maklumat dalaman seperti yang anda fikirkan mengenai isu Rusia-Ukraine, namun saya percaya maklumat boleh diperoleh daripada pasukan dan kakitangan termasuk diri saya juga tetapi bukan berkaitan politik.

"Pada masa ini kami tidak berasa bertanggungjawab untuk semua ini.

Peperangan di Eropah tidak dapat saya fikirkan untuk tempoh masa yang lama.

Kesannya jelas dan perbincangan mempunyai impak. Mari kita lebih bersabar dan fahami apakah ukurannya dan kemudian kita mungkin perlu menanganinya segera," kata Tuchel.

Untuk rekod, Abramovich membeli Chelsea pada 2003, melabur ratusan juta untuk mengejar kejayaan, memenangi Liga Perdana Inggeris lima kali dan Liga Juara-Juara dua kali, sambil mengubah landskap bola sepak Inggeris.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!