Bot kehabisan minyak, lelaki dipercayai hanyut
KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki dipercayai hilang di perairan Pintu Gedung di sini pada Jumaat.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, mangsa seorang lelaki warga tempatan dipercayai hanyut selepas bot dinaiki dipercayai kehabisan minyak.
"Operasi mencari dan menyelamat yang dikoordinasikan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru diaktifkan pada jam 12.30 tengah hari Jumaat dan disambung pada jam 7 pagi Sabtu dengan mengatur gerak Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk dan bot Penggalang 10 serta bot RH 10 daripada Pasukan Polis Marin (PPM).
"Mangsa yang hilang dikenali sebagai Md Shamsuddin Mohamed Shari, 46, dipercayai hanyut bersama bot fiber yang dinaiki dalam perjalanan dari Pulau Ketam ke kapal dagang Lila Bhavnagar bagi menghantar dokumen serta pasport kru kapal dagang berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, usaha pencarian sebelum ini cuba dilakukan rakan mangsa namun bot berwarna putih hijau itu tidak ditemui sehingga kini.
"Sektor pencarian operasi mencari dan menyelamat merangkumi keluasan kawasan 85 batu nautika persegi dari Pulau Ketam sehingga ke kawasan Pulau Carey.
"Cuaca di lokasi cerah dengan kelajuan angin 30 hingga 40 kilometer sejam dan ombak pada ketinggian 1.5 hingga 2.5 meter serta ribut petir di beberapa lokasi," katanya.
Menurutnya, sehingga kini, Maritim Malaysia masih meneruskan usaha pencarian mangsa.
"Maritim Malaysia meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!