[VIDEO] Hasni berdepan empat penjuru di Benut
PONTIAN- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad berdepan saingan empat penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Hasni yang juga bekas Menteri Johor dan penyandang kerusi berkenaan akan ditentang calon Perikatan Nasional (PN) Senator Datuk Isa Ab Hamid; Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Iskandar Noor Ibrahim dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Haniff@Ghazali Hosman.
Pengumuman pencalonan keempat-empat calon berkenaan dilakukan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Benut, Mohd Rafi Abdullah di Dewan Serbaguna Benut.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, kerusi DUN itu dimenangi Hasni dengan majoriti undi 4,447.
Tarikh mengundi bagi PRN Johor ditetapkan pada 12 Mac dan undi awal pada 8 Mac.
Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.
Kerajaan Johor sebelum ini dilaporkan memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga mantan Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!