[VIDEO] Penduduk diminta berwaspada, beri kerjasama jika diminta berpindah
SHAH ALAM - Penduduk di kawasan berisiko banjir dinasihatkan sentiasa waspada dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya diminta untuk berpindah.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia berikutan cuaca mendung dan hujan sejak dua hari lalu yang mungkin mengakibatkan kejadian bencana alam.
Menurutnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Saya juga telah mula menerima laporan kejadian banjir dan insiden bencana alam di beberapa buah negeri daripada JBPM melalui setiap Pusat Gerakan Operasi Negeri.
“Seperti mana permakluman oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), kejadian hujan berterusan (bahaya, buruk dan waspada) akan melanda dijangka sehingga 26 Februari 2022.
“Saya mohon kita semua sentiasa waspada dan beri kerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya diminta untuk berpindah akibat kejadian-kejadian yang mungkin berlaku,” katanya di Facebook pada Sabtu.
MET Malaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Johor.
Selain itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama, kedua dan ketiga untuk perkapalan di perairan Laut China Selatan berkuat kuasa hingga 28 Februari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!