Pahang tanam 3,000 anak pokok balak
KUANTAN - Sebanyak 3,000 anak pokok balak berkualiti tinggi ditanam di Hutan Simpan Sungai Lembing dekat Kampung Kolong Pahat di sini, pada Jumaat.
Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Samsu Anuar Nawi berkata, kerja-kerja penanaman itu selesai setelah mengambil masa lima hari bermula Isnin lalu.
Menurutnya, pokok spesies meranti temak dan tembaga itu ditanam untuk menggantikan pokok durian Musang King yang dimusnahkan kerana ditanam secara haram di kawasan itu sebelum ini.
"Kerja-kerja penanaman dilakukan oleh lebih 50 kakitangan Bahagian Pembangunan Hutan JPNP Bukit Sekilau.
"Cabaran utama kerja-kerja pemuliharaan ini adalah kawasannya yang berbukit," katanya kepada pemberita, pada Jumaat.
Beliau berkata, pokok-pokok yang ditanam akan dipantau secara berjadual bagi menilai pembesarannya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Silvikultur (Zon Pahang Timur I), Nurfazliza Kamarulbahrin berkata, pihaknya bertanggungjawab dalam usaha menghijaukan semula kawasan tersebut.
Menurutnya, satu pasukan khas ditubuhkan untuk memastikan projek penghijauan semula Hutan Simpan Sungai Lembing berjaya seperti diharapkan.
Program menanam pokok balak berkualiti tinggi di kawasan itu dilakukan susulan sebelum ini berlaku pencerobohan di kawasan tersebut.
Dalam operasi itu, sebanyak 200 pokok durian Musang King berusia empat hingga lima tahun dimusnahkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!