Kelantan siap sedia hadapi banjir

Penduduk mengubah kedudukan ikatan tali rakit berikutan peningkatan paras air Sungai Kelantan ketika tinjauan di Pengkalan feri Pasir Kelang. - Foto Bernama
Penduduk mengubah kedudukan ikatan tali rakit berikutan peningkatan paras air Sungai Kelantan ketika tinjauan di Pengkalan feri Pasir Kelang. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sudah mengaktifkan seluruh bilik Gerakan Banjir di bawah Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) di seluruh negeri untuk menghadapi musibah berkenaan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, PKOB di setiap jajahan akan bekerjasama dengan pasukan keselamatan, wakil rakyat termasuk pasukan sukarelawan untuk memastikan proses pemindahan dan agihan bantuan keperluan asas berjalan lancar.

"Saya berharap seluruh rakyat negeri ini supaya sentiasa berwaspada dan patuh kepada arahan serta panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa terutamanya melibatkan arahan untuk berpindah," katanya dalam hantaran di Facebook milik beliau pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa banjir yang berpindah turut disaran meningkatkan kawalan kendiri dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Sehingga jam 10 pagi tadi, sebanyak 26 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat jajahan iaitu Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Mas dan Jeli sudah dibuka membabitkan 1,207 mangsa daripada 342 keluarga.

"Seluruh rakyat turut disaran berdoa kepada ALLAH supaya Kelantan dilindungi dan diberi keselamatan daripada banjir besar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!