MBI kaji tambah parkir sekitar HRPB
IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang mengkaji keperluan untuk menambah kawasan parkir berhampiran Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini susulan rungutan yang diterima daripada orang ramai.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, dalam tempoh dua tahun, pihak MBI sudah menambah kira-kira 200 lot parkir di sekitar kawasan itu.
Menurutnya, menyedari masalah parkir itu juga, pihak MBI juga menggunakan budi bicara menguatkuasakan undang-undang berkaitan parkir.
"Buat masa ini memang kita ambil tindakan saman tetapi kita beri diskaun sehingga 70 peratus
"Tapi kita masih bertoleransi. Kita tidak akan saman sewenang-wenangnya terutama ketika waktu puncak," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Prapelancaran Tasik Cermin Eco Park Ipoh, di sini pada Sabtu.
Hadir menyempurnakan perasmian tersebut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
Sementara itu, Nolee Ashilin berkata, isu itu telah dibawa di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Menurutnya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dijangka akan mengumumkan sesuatu mengenai parkir tersebut.
Pada 9 Februari lalu, kerajaan negeri Perak mengambil maklum berhubung isu parkir bertingkat di hospital itu yang tular di dalam media sosial sebelum ini.
Saarani dalam satu kenyataan memaklumkan satu perbincangan dengan pihak pengurusan hospital berkenaan akan dibuat oleh kerajaan negeri bagi mendapatkan penjelasan lanjut dan penyelesaian berhubung isu tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!