APM bantu percepat proses tuntutan insurans mangsa kemalangan
TEMERLOH - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan membantu mempercepatkan proses tuntutan insurans anggota yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 142.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 di Maran pada Khamis.
Dalam kemalangan tersebut, dua anggota APM Pekan iaitu Prebet (PA) Muhammad Nur Izzuddin Mohd Razali, 21, dan Leftenan Muda (PA) Siti Fairuz Adnan, 28, maut manakala seorang lagi anggota, Lans Koperal (PA) Nurulain Zulfardliyana Mat Daud, 34, parah.
Pengarah APM Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman memberitahu setiap anggota sukarela dilindungi insurans berkelompok.
"Kita akan melihat prosedur dan membantu untuk mempercepatkan proses tuntutan tuntutan anggota terlibat.
"Kita amat terasa kehilangan anggota terlibat dan berharap keluarga mangsa tabah dengan situasi ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau ditemui ketika menyampaikan sumbangan kilat terhadap keluarga waris Siti Fairuz yang diterima ibu mangsa, Hamidah Salleh, 61 di Kampung Lubuk Serdang di Mentakab di sini.
Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya APM, KPj (PA) Aminurrahim Mohamed, Pegawai APM Daerah Pekan, Kapten (PA) Azamsah Apearal.
Selain keluarga Siti Fairuz, turut menerima sumbangan terbabit keluarga Muhammad Nur Izzuddin di Chini, Pekan pada hari sama.
Ujar Che Adam lagi, pihaknya juga membantu segala proses dari mula hingga ke akhir dalam memastikan jenazah dua anggota itu selamat dikebumikan.
Sementara itu, Hamidah terharu dengan keprihatinan APM yang membantu proses tersebut hingga selesai.
"Terima kasih kerana banyak membantu keluarga kami pada hari ini (Jumaat)," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Hamidah memberitahu anak bongsu daripada lima beradik itu ada memaklumkan kepadanya akan pulang ke kampung selepas tiga bulan mereka tidak bertemu.
"Dia tidak dapat balik pulang ke kampung kerana perlu bertugas di pusat pemberian vaksin dan kami hanya berhubung melalui telefon.
"Memang saya sedih kerana dia anak bongsu sudah tentu paling manja tetapi saya keluarga reda dengan ketentuan Ilahi," jelasnya.
Akuinya, berita itu amat mengejutkan dan merupakan ujian bagi keluarganya memandangkan suaminya sakit selain berdepan bencana banjir baru-baru ini.
Tambahnya, Allahyarham yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perniagaan daripada Universiti Malaysia Perlis meminati kerjaya APM sejak kecil lagi dan memberikan komitmen tinggi dalam pekerjaannya itu.
"Saya adalah bekas anggota APM dan semasa bertugas saya sering membawanya bersama sejak kecil menyebabkan minatnya terhadap kerjaya ini.
"Anak saya juga mula menjadi anggota APM selepas mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!