Banjir Kelantan: Bomba bantu lima ibu mengandung ke hospital
MACHANG - Lima ibu mengandung termasuk seorang daripadanya positif Covid-19 dibawa keluar dari Kampung Temangan, Machang untuk mendapatkan rawatan di Hospital Machang, pada Sabtu.
Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Penguasa Bomba Nurul Alfisyahrin Mhd Zaki berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12 tengah hari daripada orang awam yang memohon bantuan berikutan dua laluan utama di kampung berkenaan ditenggelami air sedalam satu meter.
"Selepas menerima panggilan tersebut saya dan beberapa anggota bergegas ke Klinik Kesihatan Temangan ditempat mereka berkumpul untuk memulakan misi menyelamat.
"Setibanya di sana, seorang mangsa yang mengandung tersebut disahkan Covid-19 selepas membuat ujian saringan dan dia dibawa ke hospital dengan bantuan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang turut serta dalam bantuan ini," katanya.
Menurutnya, misi menyelamat berkenaan turut membantu seorang wanita yang berada dalam tempoh berpantang untuk ke hospital disebabkan bayi dilahirkan mengalami masalah kesihatan.
Selain itu, turut dibantu seorang pesakit buah pinggang berusia 61 tahun yang mengalami sesak nafas.
"Dia dibawa keluar dari kampung berkenaan kerana perlu menjalani rawatan dialisis, selain mengalami masalah sesak nafas. Dia dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Machang untuk rawatan lanjut.
"Kesemua mangsa dipindahkan menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, lori SMART dan ambulans untuk penghantaran terus ke Hospital Machang," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, JBPM Jeli turut memindahkan seorang warga emas berusia 75 tahun yang menghidap penyakit angin ahmar dari Kampung Reka ke Hospital Jeli.
Nurul Alfisyahrin berkata, mangsa dipindahkan menggunakan dua buah ambulan iaitu ambulans Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Balah dan ambulans PKD Jeli, selain menggunakan bot di kawasan yang ditenggelami air.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!