Pemaju yakin projek pembangunan flat PKNS siap ikut jadual

- Foto Bernama
- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jiankun International Bhd (Jiankun) yakin projek pembangunan semula flat PKNS Jalan Tun Razak, Kampung Bharu akan berjalan mengikut garis masa yang ditetapkan bagi memastikan gangguan minimum kepada penduduk dan masyarakat setempat.

Projek pembangunan semula itu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM1.2 bilion akan dijalankan oleh Menara Rezeki Properties Sdn Bhd (Menara Rezeki Properties).

Jiankun dan Menara Rezeki masing-masing mempunyai 70 peratus dan 30 peratus pegangan dalam Menara Rezeki Properties dan merupakan pemaju teras projek pembangunan semula itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jiankun berkata pemaju telah bertemu dengan penduduk untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai cadangan projek pembangunan semula, tawaran dan perkhidmatan yang akan disediakan untuk penduduk PKNS serta mendengar luahan pandangan daripada penduduk terhadap projek tersebut.

"Apa yang penting, kedua-dua pihak dan penduduk dapat berkomunikasi supaya proses perobohan Flat PKNS Jalan Tun Razak di Kampung Bharu dapat dilakukan dengan lancar dan bertanggungjawab.

"Ini akan membantu kami untuk bergerak ke hadapan dengan projek pembangunan semula itu kerana penting bagi komuniti setempat untuk mempunyai pemahaman yang jelas tentang cadangan dan cara ia memberi manfaat kepada masyarakat,” kata Pengarah Eksekutifnya Azmi Osman.

Di bawah cadangan pelan pembangunan semula itu, pemaju akan membina menara pangsapuri 52 tingkat untuk pemilik sedia ada Flat PKNS Jalan Tun Razak.

Projek pembangunan semula yang dicadangkan itu termasuk menempatkan semula penduduk sedia ada ke pangsapuri baharu yang akan dibina serta pampasan menyeluruh untuk penduduk sedia ada. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!