Pencemaran kimia: Tiada pesakit baharu dirujuk di hospital

Tiada pesakit baharu dirujuk ke hospital setakat jam 12 tengah akibat pencemaran di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. Foto: Raja Jaafar Ali
Tiada pesakit baharu dirujuk ke hospital setakat jam 12 tengah akibat pencemaran di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. Foto: Raja Jaafar Ali
A
A
A

PASIR GUDANG - Tiada pesakit baharu dirujuk ke hospital setakat jam 12 tengah hari tadi manakala hanya tinggal seorang pesakit yang masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) berbanding dua pesakit sebelum ini.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr Sahruddin Jamal berkata, pesakit berkenaan juga dilaporkan stabil dan seramai 7 pesakit dibenarkan pulang selepas dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

"Daripada 17 Mac hingga 12 tengah hari tadi, 44 pesakit masih dirawat di hospital. Namun begitu, pemantauan terhadap pencemaran tetap diteruskan sehingga 2 April dan data akan diterbitkan dari semasa ke semasa.

"Ujian tanah dalaman pula dijalankan pada sampel yang dikumpul pada setiap hari selepas kerja pembersihan dilakukan. Pasukan pemantau terdiri daripada anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sehingga jam 12 tengah hari ini juga, bahan enap cemar yang dikutip dianggarkan sebanyak 990 tan metrik manakala jumlah air yang dikumpul kira-kira 1,650 tan metrik.

"Pasukan penilai ditubuhkan bagi membuat pemantauan di kawasan yang terdiri daripada bomba, Jabatan Kimia, JAS, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Meteorologi.

"Fokus pasukan penilai adalah pada bahan seperti Hydrogen cyanide (HCN), Acrylonitrile, Acrolein & Volatile Organic Compound (VOC) yang tahap kesannya amat tinggi kepada manusia, haiwan dan alam sekitar," katanya.

Dr Sahrudidin berkata, agensi yang terlibat membuat persampelan termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Petronas dan Hazmat bomba mengikut masa ditetapkan di 16 lokasi di sekitar Pasir Gudang.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan sebaran maklumat melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial kerana ia belum tentu sahih.

"Untuk sebarang pertanyaan dan pengesahan maklumat, boleh hubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di talian 07-2522143 atau 07-2532143 atau boleh terus ke Aras 3, Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!