Perang Rusia-Ukraine tidak jejas jaminan makanan negara
KOTA BHARU - Perang yang meletus antara Rusia dengan Ukraine tidak menjejaskan jaminan makanan di negara ini, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Beliau berkata, peperangan itu tidak memberi kesan secara langsung kepada bekalan makanan negara kerana Ukraine dan Rusia bukan sasaran Malaysia untuk import dan eksport termasuk bahan asas pertanian.
"Jika ada pun hanya dalam kuantiti kecil... Kalau kita tidak boleh eksport dan import ke dua negara ini, kita boleh tukar ke negara lain malah setakat ini, kita banyak bergantung kepada China dan Thailand,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus galakan pelaburan dan pembangunan tanaman durian di Dewan Serai Wangi Kompleks RTC, Tunjong hari ini.
Nik Muhammad Zawawi berkata, kursus itu merupakan antara fokus di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 menerusi Program Galakan Pelaburan dan Pemasaran Tanaman Bernilai Tinggi bagi meningkatkan pembekalan tanaman bernilai tinggi di pasaran.
Beliau berkata, kementerian telah meluluskan peruntukan RM45 juta bagi Projek Pembangunan Tanaman Buah-Buahan Jangka Panjang khususnya durian untuk pembangunan infrastruktur ladang, pembekalan input dan sebagainya.
"Secara perbandingan, jumlah nilai eksport durian pada 2016 ialah RM69.9 juta manakala pada 2020, sebanyak RM144.7 juta. Ini menunjukkan berlaku lonjakan 107 peratus atau RM74.8 juta dalam tempoh lima tahun.
"Kita sedang mempergiat usaha memperluas akses dengan mempromosi durian di pasaran baharu dan sedia ada. Antara pasaran baharu yang sedang diteroka ialah Australia untuk buah durian segar selain New Zealand dan Rusia,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!