Barisan Nasional lancar manifesto PRN Johor 1 Mac

Ahmad Maslan - Foto Bernama
Ahmad Maslan - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Barisan Nasional (BN) akan melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 1 Mac depan, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata manifesto tersebut bertemakan kestabilan masa depan negeri Johor.

"Sebagaimana yang sudah kita lihat di mana tema manifesto kestabilan masa depan, kita tidak hendak merahsiakannya kerana kestabilan demi kemakmuran telah berjaya memenangi PRN Melaka. Jadinya ia di Johor ini tema kestabilan demi masa depan,” katanya semasa menjadi tetamu program Suara Johor terbitan Bernama TV pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata BN komited ingin mengembalikan Johor sebagai negeri termaju di Malaysia, di bawah kepimpinan calon Menteri Besar parti itu Datuk Hasni Mohammad.

Beliau berharap kesemua 56 calon BN pada PRN Johor ini terus berusaha gigih untuk menemui pengundi di kawasan masing-masing, menggunakan pelbagai kaedah sama ada secara bersemuka atau menerusi alam maya.

"(Kita mahu) sampaikan kepada anak-anak muda di luar sana bahawa, hasrat anak muda menginginkan pendidikan tinggi, kemahiran tinggi majoriti atau hampir kesemuanya disediakan dan dilaksanakan UMNO dan BN.

"Peluang pekerjaan, perniagaan, rumah mampu milik, adalah janji BN untuk orang muda dan semua masyarakat. Bagi terus memastikan kestabilan, kita ingin jadikan kawasan luar bandar ini ‘luar biasa’,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Mengenai jaminan BN untuk menunaikan manifesto tersebut, beliau berkata kerajaan daripada parti gabungan itu tidak pernah gagal dalam menunaikan janji-janji di dalam manifesto, semasa pentadbiran mereka.

Artikel Berkaitan:

"Manifesto yang tidak ditunai ini adalah Pakatan Harapan (PH), yang di dalamnya ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana dalam PH 100 hari ada 10 janji utama, dan banyak yang tidak ditunaikan.

"Saya bagi pihak UMNO khususnya BN, amat yakin bahawa jika diberi mandat, kandungan manifesto (kami) akan ditunaikan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!