Tahanan meninggal dunia di Hospital Tanah Merah akibat Covid-19
KUALA LUMPUR - Kematian seorang tahanan lelaki warganegara Myanmar di Hospital Tanah Merah, Kelantan awal pagi Sabtu disahkan adalah akibat jangkitan Covid-19.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata lelaki berkenaan ditahan pada Jumaat oleh anggota polis daripada Balai Polis Jeram Perdah, Pasir Mas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
"Ujian awal mendapati lelaki berkenaan positif Covid-19 dan kemudian dihantar ke Hospital Tanah Merah bagi mendapatkan rawatan, lelaki itu ditempatkan di wad Covid-19 pada pukul 4 petang hari yang sama dan pada pukul 2.22 pagi Sabtu (26 Februari) lelaki itu disahkan meninggal dunia akibat virus berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Katanya Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan JIPS akan menjalankan siasatan berhubung kes tersebut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!