Tulis puisi sampai terbit

Bengkel anjuran Persatuan Penyair Malaysia (Penyair) berjudul Penghasilan Karya Berimpak Tinggi yang dibimbing Rahman di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 5 Mac ini.
Bengkel anjuran Persatuan Penyair Malaysia (Penyair) berjudul Penghasilan Karya Berimpak Tinggi yang dibimbing Rahman di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 5 Mac ini.
A
A
A

PELBAGAI peluang dan kemudahan yang tersedia dewasa ini merancakkan penerbitan karya sendiri untuk tatapan umum. Ia terbuka luas kepada sesiapa sahaja yang memiliki minat, bakat dan kesungguhan untuk berkongsi karya kepada khalayak pembaca dalam bentuk penerbitan sama ada melalui saluran digital mahupun bentuk fizikal.

Melalui saluran digital, pelbagai peluang dan ruang terhidang buat calon penulis untuk menerokainya. Antara yang aktif dan prolifik adalah melalui laman Facebook Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia dengan menggunakan nama grupnya sebagai ‘Pemuisi Berkarya'.

Dengan jumlah keahliannya seramai hampir 7,000 peserta, setiap hari pelbagai karya penulis muda dan mapan terpilih untuk menghiasi laman tersebut. Penulis pula tidak dibataskan dengan pemilihan tema puisi yang ingin dikongsi. Usaha yang murni agar suara kemanusiaan sejagat pemuisi dijulang ke peringkat yang tinggi sejajar dengan misi persatuan berkenaan.

Situasi pandemik telah mengajar kita untuk berjinak dan lebih mesra dengan kemudahan teknologi sama ada bagi tujuan pembelajaran ataupun interaksi secara dalam talian. Pelbagai bengkel penulisan boleh didapati sama ada secara percuma ataupun berbayar. Bermacam program dalam talian juga dianjurkan secara konsisten. Kebanyakannya ditawarkan secara percuma dan mudah diakses di mana-mana sahaja tanpa sempadan liputan asalkan mempunyai jaringan internet.

Antara contohnya ialah program ‘Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan' anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan sokongan Alumni Bengkel Puisi Merdeka yang memberi ruang kepada para peserta membaca puisi karya sendiri atau orang lain. Satu inisiatif berkesan yang mengangkat pengkarya ke tahap yang membanggakan.

Kemudahan penerbitan buku sendiri sama ada secara solo mahupun berjemaah juga banyak ditawarkan oleh individu, rumah penerbitan dan syarikat percetakan. Projek-projek penerbitan buku antologi puisi secara berkumpulan rancak dan berkembang pesat seperti cendawan tumbuh selepas hujan dalam industri penerbitan.

Bahkan syarikat percetakan UPrint menawarkan kadar harga serendah RM5 senaskhah, penulis sudah mampu menerbitkan karya sendiri dalam bentuk buku fizikal. Satu pelaburan yang sangat menarik sekali!

Pilihan banyak tersedia. Peluang berkarya di mana-mana sahaja. Persoalannya, bagaimanakah caranya untuk menghasilkan karya puisi yang baik untuk penerbitan?

Artikel Berkaitan:

Sasterawan Negara ke-14, Profesor Datuk Dr Siti Zainon Ismail berkata: “Ia harus dihasilkan melalui jiwa dan raga. Jiwa adalah pemikiran kita dari hati, batin dan sukma. Yang bekerja adalah minda yang mempunyai kelebihan imaginasi”.

Menurut sasterawan Profesor Datuk Rahman Shaari, perkara yang utama ialah penyingkiran klise.

“Ertinya, jangan sebut ‘tanah keramat’, ‘tiupan bayu’, ‘memori silam’ dan beratus-ratus lagi. Berikan fikiran yang bernas, biarpun ada rasa pilu, romantik mahupun marah,” jelasnya lagi.

Penulis kini mampu menerbitkan karya sendiri dalam bentuk buku melalui syarikat percetakan UPrint yang menawarkan kadar harga serendah RM5 senaskhah.
Penulis kini mampu menerbitkan karya sendiri dalam bentuk buku melalui syarikat percetakan UPrint yang menawarkan kadar harga serendah RM5 senaskhah.

Penulis yang berasal dari Kelantan, Awang Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Awang berkata: “Secara umumnya, puisi yang baik itu ialah puisi yang seimbang antara aspek bahasa, fizikal dan isi atau pemikiran iaitu roh puisi.”

Selain itu, menurut Cikgu Awang, aspek lain yang perlu dititik beratkan termasuklah aspek isu semasa.

“Maksudnya, kalau kita tulis tentang isu Covid-19, banjir, barang naik dan seumpamanya, sasaran pembaca lebih berminat untuk membacanya.

“Selain aspek di atas, antara ciri-ciri yang baik bagi sebuah puisi ialah isi atau pemikiran baharu atau tidak klise. Kedua, puisi itu perlu komunikatif sifatnya iaitu mudah difahami, tidak kabur tapi masih indah dari aspek bahasanya,” ujar Cikgu Awang.

Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan berkata: “Mesti mengandungi pemikiran tentang sesuatu yang penting kepada kehidupan dan bangsa. Puisi yang baik harus diolah dengan bahasa yang puitis.”

Petikan dalam buku Membina Bakat Kreatif oleh Dr Zurinah merumuskan bahasa puitis dalam puisi adalah susunan kata-kata yang istimewa untuk menyampaikan makna melalui perlambangan dan menerbitkan kesan bunyi atau irama.

Rahman pula berpendapat unsur intelektualisme bergandingan dengan perasaan dan peristiwa, menjadikan sesebuah karya puisi itu menarik, bermutu dan baik sehingga meninggalkan kesan kepada pembaca.

Rahman juga menekankan seseorang penulis puisi yang baik juga perlu mempunyai nilai terpuji dengan berkata: “Dia mestilah tidak tertakluk pada kesusahan dan kesenangan. Ertinya dia mesti bersabar dalam mengawal perasaan. Perasaan yang terkawal itu bagus.”

Cikgu Awang menjelaskan tentang nilai subjek karya penulis haruslah yang bersifat membina, positif dan murni ke arah mendukung dalam pembentukan sahsiah insan.

“Keduanya, ada pemikiran di luar kotak iaitu pemikiran baharu yang ada unsur ‘wow’,” terangnya lagi.

Kata Dr Zurinah: “Keprihatinan dan kesedaran yang tinggi terhadap apa yang berlaku di sekeliling. Fikir apa yang mungkin tidak difikirkan oleh orang lain, maknanya mengemukakan sesuatu yang baharu. Fikiran mesti baharu dan ungkapan tidak klise. Peka dan cakna tentang masa depan bangsa dan masyarakat.”

Dalam proses penghasilan karya puisi yang baik, Dr Zurinah berpendapat, banyak membaca adalah amalan yang wajib bagi setiap calon penulis. Selain itu, rajin belajar dan menimba ilmu pengetahuan dengan pelbagai kaedah serta mengasah kemahiran diri dengan kerap mengikuti bengkel pemantapan diri.

Salah satu program pembelajaran yang boleh diikuti oleh setiap calon penulis adalah yang direncanakan pada Sabtu, 5 Mac di Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur. Bengkel anjuran Persatuan Penyair Malaysia (Penyair) ini akan dibimbing oleh Rahman berjudul Penghasilan Karya Berimpak Tinggi.

Untuk maklumat lanjut, bakal peserta boleh menghubungi Setiausaha Agung Penyair, Aya Rohaiyah menerusi WhatsApp 011-1101-6100.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!