'Beli RTK Antigen sahaja sudah RM200'
SHAH ALAM - Individu yang menjalani kuarantin di rumah kerana positif Covid-19 atau kontak rapat terpaksa mengeluarkan belanja sekitar RM300 sehingga RM1,000 untuk membeli barangan keperluan diri dan keluarga.
Ia termasuk membeli kit ujian pantas (RTK) Antigen Covid-19, barangan dapur, ubat-ubatan, malah ada di antara mereka yang terpaksa membuat pesanan makanan melalui Grab Food dan Foodpanda.
Tambahan pula, disebabkan peningkatan kes harian Covid-19 yang mencecah 30,000 ke atas, permintaan RTK Antigen Covid-19 dilihat semakin mendapat sambutan di pasaran.
Suri rumah, Nor Fizah Yusof, 48, berkata, dia dan suami terpaksa mengeluarkan sekitar RM600 untuk menampung perbelanjaan sepanjang lima hari kuarantin kendiri di rumah.
“Sebelum kami enam beranak disahkan positif Covid-19 awal bulan Februari lepas, hampir RM200 terpaksa dibelanjakan untuk membeli kit ujian kendiri Covid-19 di farmasi, manakala RM200 lagi untuk membuat ujian calitan di klinik berdekatan.
“Untuk makanan, saya dan suami berhabis sebanyak RM200. Jadi, secara keseluruhan, kami berbelanja sekitar RM600 sepanjang menjalani kuarantin kendiri di rumah,” katanya kepada Sinar Ahad.Bagi Eksekutif Pemasaran di sebuah bank tempatan, Amira Aida Suhada Zulkepli, 24, sebanyak RM150 dibelanjakan untuk membeli kit ujian kendiri selepas menjadi kontak rapat kepada rakan sekerja yang dijangkiti Covid-19.
“Ini tidak termasuk membeli makanan untuk tengah hari dan malam melalui Grab Food dan Foodpanda. Seminggu lebih kurang RM280. Justeru, ia memakan kos yang tinggi, malah meningkatkan perbelanjaan bulanan saya,” katanya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.
Sementara itu, pelajar, Ahmad Bazli Al Amin, 21, pula berkata, dia menghabiskan sebanyak RM100 untuk membeli kit ujian kendiri tersebut setelah mendapati dirinya tidak sihat seperti demam dan batuk.
“Pada awalnya, keputusan kit tersebut didapati negatif. Kemudian selepas melakukan ujian secara berkala, saya didapati positif dan diminta menjalani kuarantin kendiri di rumah.
“Memandangkan saya menyewa, jadi kos perbelanjaan seperti makanan, ubat meningkat. Secara keseluruhan, saya menghabiskan RM300 sepanjang tujuh hari menjalani kuarantin kendiri,” katanya.
Eksekutif proses, Mardiana Tarmizi, 27, yang berasal dari Pasir Gudang, Johor pula berkata, hampir RM1,000 dibelanjakan untuk menampung perbelanjaan empat ahli isi rumah.
“Ini temasuk RM100 untuk RTK Antigen Covid-19, manakala RM390 lagi untuk ujian saringan di klinik swasta. Selebihnya belanja untuk makanan dan ubat,” katanya yang sebelum ini menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 10 hari selepas disahkan positif Covid-19.
Mardiana turut mencadangkan orang ramai mempunyai wang simpanan kecemasan sebagai persediaan sekali gus mengelak kesusahan di masa akan datang.
“Macam saya, perlu simpan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk empat ahli isi rumah kerana kos perbelanjaan semasa kuarantin sangat tinggi. Dalam sebulan boleh dikatakan anggaran untuk RTK Antigen sahaja sekitar RM200,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!