Banjir, PRN Johor dan nasib diplomat Malaysia di Ukraine jadi tumpuan
SHAH ALAM - Cuaca buruk yang melanda Pantai Timur sedikit menenggelamkan suhu panas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula sebaik selesainya penamaan calon pada Sabtu.
Beberapa rakaman video tular membabitkan ombak besar di pantai-pantai peranginan di Terengganu memberi amaran jelas tentang cuaca buruk yang sedang melanda.
Turut dilaporkan keadaan banjir semakin buruk di Terengganu dan Kelantan apabila bilangan mangsa meningkat di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan masing-masing 3,434 orang dan 2,186 orang, setakat 5 petang pada Sabtu.
Di Terengganu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, 67 PPS dibuka di lima daerah iaitu Kemaman, Hulu Terengganu, Besut, Setiu dan Dungun membabitkan 985 keluarga.
Manakala di Kelantan, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, mengingatkan penduduk di negeri ini supaya tidak menjadikan bencana banjir sebagai pesta tahunan, walaupun situasi yang dihadapi ketika ini dianggap sebagai air hujan bertakung.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga turut mengingatkan orang ramai supaya peka dengan perkembangan terkini paras air sungai khususnya di Kelantan dan Terengganu.
Pada masa sama, Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah dilapor berkata, bencana banjir yang melanda negeri di Pantai Timur ketika ini disebabkan luruan monsun atau luruan udara sejuk serta adanya sistem cuaca tekanan rendah di Laut China Selatan.
Katanya, walaupun ia perkara biasa, namun dari segi iklimnya, negara masih berada dalam fenomena La Nina yang sering dikaitkan dengan peningkatan hujan kepada lebihan 10 hingga 20 peratus, sekaligus akan merangsangkan lebih banyak luruan monsun ini.
“Apa berlaku kini adalah banyaknya luruan udara sejuk yang merangsang lebih banyak hujan dan luruan monsun. Kesannya, berlaku banyak hujan khususnya di kawasan Pantai Timur.
“Banjir akan berlaku apabila hujan yang banyak dan berlaku dalam tempoh lama. Apa yang kita hadapi adalah apabila berlaku luruan sejuk sampai 48 jam hingga 72 jam, air akan banyak.
“Apabila berlaku banyak hujan, ia akan turun ke sungai tapi jika sungai cetek atau air tidak boleh masuk ke dalam tanah, boleh berlakunya banjir kerana sungai yang ada tidak mampu menampung limpahan air," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sementara itu, berkaitan perkembangan PRN Johor, seramai 239 calon bakal bersaing di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang turut menyaksikan pertembungan sehingga tujuh penjuru.
Pergerakan kempen dijangka lebih rancak pada Ahad bagi mengambil peluang memanfaatkan setiap ruang yang diberikan dalam keadaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilhan Raya Malaysia (SPR).
Dalam masa sama, di sebalik tumpuan terhadap perkembangan di tanah air, perkembangan serangan berlaku antara Rusia-Ukraine juga akan terus diberikan khususnya berkaitan nasib diplomat Malaysia yang terkandas di Kiev didakwa dalam perjalanan ke negara jiran Poland melalui jalan darat.
Ia susulan pada Sabtu, Portal South China Morning Post melaporkan, mereka yang melarikan diri tersebut terdiri daripada lapan rakyat Malaysia dan dua warga asing dengan menggunakan empat buah kereta.
Kesemua mereka dikatakan menuju ke Lviv iaitu perjalanan sejauh 782 kilometer (km) dan dijangka mengambil masa kira-kira 10 jam kerana trafik perlahan.
Wisma Putra dalam maklum balas kepada media di tanah air bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!