Memorandum IPCMC akan diserah kepada kerajaan
KUALA LUMPUR - Memorandum berhubung Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dibincangkan dalam Persidangan Agung Tergempar Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRP) akan diserahkan dalam masa terdekat kepada pihak kerajaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, memorandum berkenaan telah diserahkan kepada pihak pengurusan tertinggi dan pihaknya akan meneliti sebelum menyerahkannya kepada kerajaan.
"Jika perlu, kita akan aturkan pertemuan wakil persatuan ini dengan pihak kerajaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup persidangan tersebut di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.
Mohamad Fuzi berkata, persidangan tergempar yang bermula semalam itu diadakan selepas menerima banyak permohonan untuk mengadakan mesyuarat tersebut.
“Persidangan ini memberi ruang kepada wakil persatuan tersebut untuk menyuarakan pendapat dan membahas isu penting," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju supaya Suruhanjaya Integriti Penguatkuasaan (EAIC) dikuat kuasakan dan dikenali sebagai IPCMC.
Suruhanjaya itu akan bertindak sebagai badan pemantau bebas kepada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia berikutan banyak aduan berkaitan mereka diterima.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!