JIPS tidak lindung, aniaya pegawai, anggota terlibat kesalahan

Azri
Azri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) tidak pernah melindungi atau menganiaya mana-mana pegawai dan anggota polis yang melakukan kesalahan, malah mereka yang terlibat akan dikenakan hukuman setimpal, kata Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad.

"Kami mempunyai 'rule of law' yang mesti menghormati keadilan asasi semua pihak sama ada penjenayah atau orang yang sewajarnya jika terdapat keterangan menjurus kepada wujudnya apa-apa salah laku dan salah guna kuasa.

"Tiada mana-mana pihak yang teraniaya dan polis memberi keadilan kepada semua pihak...sudah tentu dalam menjalankan siasatan salah guna kuasa dan salah laku melibatkan pegawai dan anggota sendiri ini mempunyai cabaran yang tersendiri,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Azri berkata siasatan holistik dijalankan melalui prosedur operasi standard yang ditetapkan bagi memastikan setiap kesalahan dan hukuman sewajarnya.

Beliau berkata prinsip keadilan adalah keutamaan dalam setiap siasatan yang dijalankan dan pihaknya tidak akan mengambil tindakan sewenang-wenangnya.

"Ingin saya tegaskan, siasatan tatatertib adalah berbeza dengan siasatan jenayah dan prosesnya perlu dijalankan dengan teliti serta telus,” katanya.

Selain itu, cabaran yang JIPS hadapi adalah kesukaran mendapatkan kerjasama daripada saksi awam atau saksi bebas bagi melengkapkan siasatan apabila ada yang pada awalnya bersedia untuk hadir memberi keterangan tetapi mengubah pendirian dengan alasan tersendiri serta gagal dihubungi.

Beliau berkata ada juga kes yang melibatkan aduan yang tidak lengkap serta tidak mengemukakan butir-butir subjek yang terlibat dengan jelas dan tiada keterangan mencukupi untuk suatu siasatan dijalankan.

Artikel Berkaitan:

"Contohnya, surat layang yang tidak mempunyai maklumat penghantar, tiada maklumat tentang subjek dan jenis kesalahan dilakukan dan sebagainya. Kekangan-kekangan ini menyukarkan JIPS untuk menjalankan siasatan terperinci tentang sesuatu kes yang diadukan,” katanya.

Azri berkata, jika tiada maklumat asas apabila berlaku sesuatu kesalahan atau pelanggaran tata kelakuan, JIPS tidak boleh memulakan siasatan.

"Oleh itu, saya memohan kepada orang awam atau sesiapa sahaja yang membuat aduan, biarlah aduan yang dibuat mempunyai maklumat asas,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!