Rantau Panjang 'lumpuh'

Keadaan terkini rumah penduduk di Kampung Serongga, Repek pada Ahad.
Keadaan terkini rumah penduduk di Kampung Serongga, Repek pada Ahad.
A
A
A

PASIR MAS - Hujan tanpa henti sejak Jumaat menyebabkan air Sungai Golok melimpah sekali gus menyaksikan Rantau Panjang di sini 'lumpuh'.

Keadaan menjadi lebih kritikal apabila penduduk mendakwa banjir kali ini lebih teruk berbanding tahun 2014 lalu.

Ini diakui sendiri oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang turun padang meninjau situasi terkini banjir.

"Suasana sekarang agak kritikal ketika ini apabila air naik dengan mendadak.

"Bukan itu sahaja, air juga deras dan dalam, kenderaan pacuan empat roda tidak lepas dan situasi ini menyebabkan kami tidak menang tangan untuk membantu penduduk yang terkesan," katanya ketika ditemui semasa melakukan tinjauan di Jalan Kalbok Lima, di sini pada Ahad.

Penduduk tidak sempat memindahkan kenderaan mereka apabila air naik terlalu cepat.
Penduduk tidak sempat memindahkan kenderaan mereka apabila air naik terlalu cepat.

Hadir sama ialah, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir.

Menurut Siti Zailah, melihat keadaan paras air sekarang ia lebih dalam dan teruk berbanding pada tahun 2014.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penduduk diharap dapat membuat persiapan segera untuk berpindah dan tidak menunggu sehingga air melimpah ke dalam rumah baru hendak berbuat demikian.

Katanya, dalam keadaan sekarang kakitangan agensi tidak cukup dan ini akan menyebabkan operasi menyelamat lambat.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada sukarelawan untuk datang membantu apa yang perlu terutama di kawasan terjejas banjir.

"Peringatan kepada semua jaga keselamatan, dan sama-sama berpadu tenaga dalam menghadapi situasi ini," katanya.

Siti Zailah (kanan) dan Mohd Nasaruddin (kiri) semasa melakukan tinjauan di Jalan Kalbok Lima, Rantau Panjang yang dinaiki air dan ditutup kepada kenderaan ringan pada Ahad.
Siti Zailah (kanan) dan Mohd Nasaruddin (kiri) semasa melakukan tinjauan di Jalan Kalbok Lima, Rantau Panjang yang dinaiki air dan ditutup kepada kenderaan ringan pada Ahad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!