Menteri Luar ASEAN bimbang situasi di Ukraine
JAKARTA - Menteri-menteri Luar ASEAN bimbang dengan perkembangan situasi di Ukraine dan menyeru semua pihak berpegang kepada prinsip saling hormat-menghormati dan menyelesaikan pertikaian mereka secara aman.
"Untuk keamanan, keselamatan dan kewujudan bersama yang harmoni, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menegakkan prinsip saling menghormati kedaulatan, integriti wilayah dan hak sama rata semua negara.
"Kami menyeru semua pihak yang berkaitan supaya bertenang dan berusaha sedaya upaya untuk meneruskan dialog melalui semua saluran, termasuk diplomatik untuk mengawal keadaan, mengurangkan ketegangan dan mencari penyelesaian secara damai," menurut kenyataan yang disiarkan di laman sesawang ASEAN, pada Sabtu.
Menteri-menteri luar percaya bahawa masih ada ruang untuk dialog damai selaras dengan undang-undang antarabangsa, prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara untuk mengelakkan keadaan menjadi tidak terkawal.
Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis mengumumkan operasi ketenteraan khas di wilayah Donbas, timur Ukraine; dan berikutan itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengisytiharkan darurat di seluruh negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!