Empat sekeluarga maut nahas dua kenderaan
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Empat sekeluarga termasuk kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun maut selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan di Lebuhraya Sultan Iskandar di sini pada Ahad.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur dalam kenyataan pada Ahad berkata, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux berkenaan hilang kawalan berhampiran Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung dan memasuki lorong bertentangan.
Menurutnya, sebanyak dua buah jentera dan 14 anggota dikerahkan sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 10.52 pagi.
"Kemalangan berlaku disebabkan Toyota Hilux yang menghala Seremban telah hilang kawalan dan memasuki arah bertentangan menghala Parlimen dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Hyundai.
"Rempuhan itu menyebabkan seorang lelaki dan wanita dewasa serta dua kanak-kanak penumpang kereta Hyundai meninggal dunia manakala pemandu Toyota Hilux seorang lelaki berusia 27 tahun mengalami cedera ringan," menurut kenyataan tersebut pada Ahad.
Menurut kenyataan, kesemua mangsa yang maut berjaya dikeluarkan dan dihantar ke hospial untuk tindakan lanjut.
"Pemandu Toyota Hilux telah dibawa ke hospital sebelum ketibaan bomba," katanya.
Mangsa yang meninggal dunia adalah Milan Damani,32; TinishaChanderasegaran,31;Ishaan Ivaan Damani,3 tahun dan Rihaan Ivaan Damani, 4 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!