Bangunkan bandar non-ferus di tapak kilang terbiar

Muhammad Sanusi (kanan) melancarkan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat negeri di Wisma Darul Aman pada Ahad.
Muhammad Sanusi (kanan) melancarkan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat negeri di Wisma Darul Aman pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah mengalu-alukan hasrat syarikat United Base Metals (UBM) Sdn. Bhd. yang bercadang membangunkan kawasan industri baharu di tapak bekas kilang Perwaja Steel, di Gurun yang telah lama terbiar.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, cadangan bagi membangunkan bandar non-ferus itu diyakini mampu menjadi pemangkin kepada ekonomi baharu negeri sekiranya ia menjadi kenyataan.

Menurutnya, bagaimanapun, kelewatan kelulusan pembangunan terbabit kemungkinan berkait rapat dengan penilaian alam sekitar berikutan industri berkenaan mempunyai kaitan dengan sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste).

“Usaha ke arah membangunkan bandar non-ferus bukanlah sesuatu yang mudah, terdapat peraturan ketat ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan pencemaran tidak berlaku.

“Saya ada berjumpa beberapa pemain industri non ferus ketika lawatan ke Dubai tahun lalu, dan dimaklumkan industri ini melibatkan banyak e-waste untuk diambil komponen yang boleh digunakan untuk industri terbabit,”katanya pada sidang akhbar selepas perhimpunan pagi bersama penjawat awam negeri Kedah dan pelancaran Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat negeri di Wisma Darul Aman pada Ahad.

Muhammad Sanusi berkata, buat masa ini syarikat terbabit masih dalam perbincangan bersama pemilik tanah untuk membeli keseluruhan 200 hektar tanah di kawasan itu bagi memastikan rancangan tersebut dapat dilaksanakan.

“Saya difahamkan mereka sudah berusaha selama setahun lebih untuk memenuhi standard ditetapkan JAS berkaitan industri berkenaan.

“Saya juga dimaklumkan syarat amat ketat dan sukar dipenuhi. Saya harap keperluan itu dapat dicapai segera supaya industri tersebut dapat berlangsung secepat mungkin,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi memaklumkan pihak syarikat tersebut masih berusaha untuk memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan.

“Exco terlibat telah memberi perhatian terhadap perkara ini, malah JAS juga sudah melawat syarikat berkenaan untuk memberi garis panduan mengenai perkara yang perlu dipatuhi, sebelum kelulusan diberikan,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri sememangnya mahu membangunkan industri baharu namun syarikat terlibat juga hendaklah mematuhi syarat ditetapkan dengan mengutamakan kawalan kualiti alam sekitar.

Sebelum ini, media pernah melaporkan mengenai hasrat UBM membangunkan kawasan perindustrian baharu tersebut yang dijangka mampu menarik pelaburan sehingga lebih RM2 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Tapak kilang berkenaan kini bukan sahaja terbiar, malah penduduk mendakwa terdapat kegiatan mencurigakan di lokasi itu.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, sebelum ini terdapat rungutan berkaitan operasi kilang di kawasan tersebut berhubung pelepasan asap pada waktu malam.

“Exco dan JAS sudah tinjau dan arah syarikat terlibat patuhi syarat dan laksanakan keperluan dalam industri berkaitan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!