JBPM Selangor hantar pasukan bantuan ke Terengganu
SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menghantar satu pasukan ke Terengganu bagi membantu operasi menyelamat mangsa banjir.
Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima permohonan dari Terengganu bagi tujuan tersebut pada Ahad.
Menurutnya, pasukan terdiri daripada sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar, BBP Sungai Pinang serta anggota dari ibu pejabat itu dijangka berlepas pada jam 4 petang Ahad.
"Pasukan akan membawa bersama dua buah bot dan satu lori lima tan seterusnya anggota akan diselaraskan ke lokasi operasi sebaik tiba di sana.
"Tambahan anggota ke sana adalah bergantung kepada keadaan juga permohonan memandangkan kita juga dalam keadaan siap sedia dengan keadaan cuaca yang tidak menentu di Selangor," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pada Sabtu media melaporkan keadaan banjir dilaporkan semakin buruk di Terengganu dan Kelantan apabila bilangan mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!