Tetap buka bazar Ramadan, SOP ketat
ALOR SETAR - Kerajaan negeri tidak berhasrat membatalkan bazar Ramadan yang menjadi tempat tumpuan ramai walaupun kes positif Covid-19 menunjukkan peningkatan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembukaan bazar Ramadan akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengekang penularan virus itu.
Menurutnya, buat masa ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang membuka tender untuk tapak niaga, selain persediaan tapak mengikut SOP yang ditetapkan.
“Saya berharap operasi bazar Ramadan tahun ini tidak terganggu dan dapat beroperasi seperti biasa dengan SOP yang akan kita umumkan berdasarkan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya pada sidang akhbar selepas perhimpunan pagi bersama penjawat awam negeri Kedah dan pelancaran Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat negeri di Wisma Darul Aman pada Ahad.
Berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menunjukkan kesemua 11 daerah dalam negeri ini masih berstatus merah dengan jumlah kes aktif sebanyak 33,241.
Kes positif Covid-19 di Kedah dalam tempoh seminggu ini pula menunjukkan antara 2,486 kes hingga 2,684 kes sehari.
“Semua pihak diharap dapat berusaha dan berdoa agar kes Covid-19 di negeri ini turun secepat mungkin.
“Saya harap jumlah itu semakin berkurang dan kita membuka bazar Ramadan mengikut SOP yang perlu dipatuhi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!