Idris hormati keputusan Selangor tetapkan SOP solat Jumaat

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

TAIPING - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, pihaknya menghormati keputusan kerajaan negeri Selangor yang menetapkan hanya jemaah lengkap dua dos vaksin Covid-19 dan dos penggalak dibenar menunaikan solat Jumaat di masjid serta surau di negeri itu.

Beliau berkata, keputusan itu ditentukan Majlis Agama Islam Negeri dan bukan diarah oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"Penentuan hal ehwal agama semua ini milik Majlis Agama Islam Negeri, KKM tidak mengarahkan tetapi itu keputusan setiap negeri.

"Mesyuarat kabinet baru-baru ini juga tidak mengeluarkan arahan... saya tidak boleh campur tangan dan kena hormat keputusan tersebut kerana ia hak negeri itu," katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Kawasan Bukit Gantang 2022 kepada 50 pelajar pada Ahad.

Idris berkata, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di masjid sebelum ini juga berbeza antara negeri seperti pelaksanaan solat Jumaat yang terhad kepada 12 orang di Selangor manakala negeri lain membenarkan bilangan jemaah lebih ramai.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan SOP itu hanya terpakai di Selangor manakala negeri lain masih seperti biasa dan tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Selasa lalu, Jabatan Agama Islam Selangor melalui surat pekeliling bertarikh 21 Februari menetapkan syarat bahawa jemaah perlu lengkap dua dos vaksin serta menerima dos penggalak bagi menunaikan Solat Jumaat mulai 25 Februari lalu.

Polis juga dilaporkan sedang menjalankan siasatan berhubung video tular berdurasi 29 saat yang memaparkan anggotanya menjalankan pemantauan SOP solat Jumaat di sebuah masjid di Puchong pada Jumaat lalu.

Artikel Berkaitan:

Semakan polis mendapati video yang dimuat naik seorang pemilik akaun Facebook itu berlaku pada kira-kira jam 1 tengah hari ketika anggota berpangkat Koperal menjalankan tugas rutin memantau SOP solat Jumaat dan SOP di kawasan pentadbiran Balai Polis Bukit Puchong.

Anggota itu turut memberi penerangan berkaitan SOP terbaharu Selangor bagi jemaah yang ingin menunaikan solat Jumaat di masjid atau surau di negeri tersebut.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!