160 pelajar Tingkatan Lima di Kuala Berang dipindahkan
KUALA BERANG - Seramai 160 pelajar Tingkatan Lima yang tinggal di asrama di dua buah sekolah menengah di sini yang dilanda banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan lewat petang Ahad.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Imtiaz dan Sekolah Menengah Agama Mahmudiah itu dipindahkan ke PPS SMK Seri Berang yang setakat ini belum dinaiki air.
"Dalam tempoh sejam sahaja air naik dengan sangat cepat sehingga ke bumbung, jadi pelajar ini dipindahkan segera ke tempat selamat," katanya pada Ahad malam.
Beliau berkata, operasi menyelamat telah digerakkan dengan dua bot dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang dan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (FRAM) Wakaf Tapai serta bot pihak badan bukan kerajaan (NGO).
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dijadualkan bermula pada 2 Mac dan berakhir 29 Mac melibatkan lebih 401,000 calon.
Banjir besar di Hulu Terengganu disifatkan sebagai paling serius berlaku susulan bencana itu turut melanda kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!