Banjir: Trak tentera jatuh parit berjaya ditunda

Trak tentera yang membawa pasukan perubatan ke PPS Kg Lubuk Megat di Kemaman yang tergelincir ke dalam parit berjaya ditunda jentera APM dan jentolak Pejabat Daerah Kemaman. -Foto: Ihsan APM Kemaman
Trak tentera yang membawa pasukan perubatan ke PPS Kg Lubuk Megat di Kemaman yang tergelincir ke dalam parit berjaya ditunda jentera APM dan jentolak Pejabat Daerah Kemaman. -Foto: Ihsan APM Kemaman
A
A
A

KEMAMAN – Trak yang membawa sekumpulan anggota tentera dan pegawai perubatan yang tergelincir ke dalam parit ketika melalui kawasan banjir di Kampung Lubuk Megat di sini, pada Ahad ditunda ke kawasan daratan.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kemaman memaklumkan, trak itu ditunda menggunakan bantuan jentera APM dan jentolak Pejabat Daerah Kemaman jam 11 pagi tadi.

Difahamkan, kesemua anggota tentera dan pegawai perubatan terlibat diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Seberang Tayur Hilir, Mohd. Fadzir Anuar Abdul Majid ketika dihubungi pada Ahad berkata, insiden itu berlaku ketika trak berkenaan dalam perjalanan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Lubuk Megat.

Katanya, trak itu membawa empat pegawai perubatan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap mangsa banjir berisiko yang berada di PPS tersebut.

Bagaimanapun, katanya, keadaan jalan yang sempit serta arus banjir menyukarkan pemanduan sehingga menyebabkan kenderaan itu tergelincir.

"Difahamkan pasukan perubatan yang dibawa mahu memeriksa seorang wanita hamil enam bulan dan seorang warga emas terlantar yang berpindah masuk di PPS itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!