Rumah berwajah baharu lepas banjir
TEMERLOH - Seorang tukang cuci di Kampung Sungai Dingin di sini kini boleh menarik nafas lega selepas rumahnya yang terjejas akibat banjir baru-baru ini kini sudah berubah wajah baharu.
Zawiyah Abdul Rahman,52 memberitahu gembira kerana keadaan rumahnya lebih selesa selepas kira-kira dua bulan tinggal dalam keadaan serba kekurangan.
"Kami sekeluarga sangat bersyukur dan berterima kasih dengan bantuan pelbagai pihak, rumah kami siap pada semalam (Sabtu) selepas beberapa minggu kerja-kerja membaik pulih dilakukan termasuk mengecat rumah.
"Macam tak pernah terbayang, rumah kami lebih cantik berbanding sebelum banjir," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Ujarnya, ia bagaikan mimpi dan tuah buat mereka kerana nasib keluarganya mendapat perhatian aktivis alam sekitar, Khaidir Ahmad menerusi syarikat keluarganya, Hybrid Nursery serta pihak-pihak lain yang prihatin.
Rumah tersebut didiami bersama suaminya, Mohamad Daud,63 dan serta dua anak perempuan mereka, Norhidayah, 24 dan Norfatihah, 23 ditenggelami banjir pada 20 Disember lalu menyebabkan keseluruhan siling pecah serta kelengkapan rumah musnah.
Sementara itu, Khaidir memberitahu, pihaknya gembira kerana usaha tersebut berjalan lancar dan berharap keluarga itu dapat tidur lena serta selesa di rumah tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!