17 sekeluarga tinggal di rumah usang
GOMBAK - Seorang warga emas hanya mampu mendiami sebuah rumah kayu usang berhampiran Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak di Kilometer 24 Jalan Pahang Lama di sini kerana tidak mampu memiliki kediaman sendiri.
Wak Siti Bah Pat, 67, mendiami rumah kayu usang berkenaan bersama 16 ahli keluarganya sejak kematian suami kira-kira 10 tahun lalu.
Kata Wak Siti, ketika suaminya masih ada, mereka tinggal di Kuarters Klinik Kesihatan Batu 18 kerana mendiang suami bekerja di klinik kesihatan tersebut.
“Saya bersama tiga anak dan menantu serta 10 orang cucu berpindah ke sini selepas suami meninggal dunia, itu pun selepas tanah ini diteroka dan rumah ini siap dibina.
“Saya tidak mampu sewa rumah apa lagi nak beli rumah, hanya harap duit pencen suami RM1,000 sebulan sahaja,” katanya ketika ditemui di rumahnya itu pada Rabu.
Selain sempit, keadaan rumah itu juga tidak selamat kerana terletak di lereng bukit dan berhampiran dengan lebuh raya.
“Saya nak minta bantuan rumah pun malu, kalau minta pun saya takut nanti disuruh pindah jauh dari sini, nanti lagi susah sebab saya tiada kenderaan,” katanya.
Wak Siti berkata, dia kini berharap kepada anak-anaknya untuk mengubah kehidupan keluarga walaupun mereka hanya bekerja sebagai buruh tanpa gaji yang tetap.
“Anak pun susah dan sudah berkeluarga namun mereka bantu serba sedikit apa yang mampu. Kami tiada masalah untuk makan, minum cuma tidak mampu untuk beli rumah sendiri,” katanya.
Selain itu, katanya, mereka turut menerima pelbagai sumbangan barangan keperluan dan makanan daripada pemimpin setempat, badan kebajikan dan parti politik di kawasan berkenaan.
“Saya tidak terima bantuan wang tetapi selalu terima barang dapur daripada banyak pihak, semua bantuan itu cukuplah jika ditambah dengan wang pencen suami saya itu,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!