B40, M40 impi miliki rumah sendiri

Peranan kerajaan amat penting bagi memastikan golongan tersebut berkemampuan membeli rumah dengan harga berpatutan. Gambar kecil dari kiri: Nurermiza, Chee Waf, Quratul Aini
Peranan kerajaan amat penting bagi memastikan golongan tersebut berkemampuan membeli rumah dengan harga berpatutan. Gambar kecil dari kiri: Nurermiza, Chee Waf, Quratul Aini
A
A
A

SHAH ALAM - Golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) berharap ekonomi negara akan bertambah baik supaya kerajaan dapat menyediakan dana tambahan bagi merealisasikan hasrat mereka untuk memiliki rumah sendiri.

Tinjauan Sinar Harian mendapati meskipun golongan itu mempunyai pendapatan stabil namun ia masih tidak mencukupi untuk mereka kerana kos sara hidup dan nilai hartanah yang semakin meningkat.

Pegawai perbankan, Nurermaniza Jamaludin berkata, peranan kerajaan amat penting bagi memastikan golongan tersebut berkemampuan membeli rumah dengan harga berpatutan.

“Harapan saya semoga ekonomi negara bertambah baik dan kerajaan ada dana untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

“Jadi bila ada inisiatif seperti ini, selain dapat memperkasakan ekonomi, ia juga dapat bantu kita rakyat Malaysia untuk bangkit semula dan mempunyai aset sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Cheong Chee Waf berkata, kerajaan diharap dapat mengawal kenaikan nilai harga rumah di negara ini yang semakin meningkat saban tahun.

Ujarnya, situasi sedemikian menyukarkan golongan M40 dan B40 memiliki kediaman sendiri selain berdepan kos sara hidup semasa.

“Kalau kita kaji, golongan bujang seperti B40 sukar untuk membeli rumah kerana kadar nilai rumah yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Jika orang itu ada gaji RM3,000 pun susah nak mohon rumah, sebab nilai rumah naik dengan cepat contohnya daripada RM500,000, RM600,000 sehingga boleh cecah RM1 juta untuk satu resident,” ujarnya.

Selain itu, kerani undang-undang, Quratul Aini Jasmee berkata, kerajaan boleh membantu rakyat dari segi memudahkan proses memohon rumah supaya melancarkan lagi urusan pembelian berkenaan.

“Saya setuju dengan bantuan kerajaan yang dilihat dapat membantu golongan M40 seperti saya untuk memiliki rumah sendiri tanpa perlu menyewa.

“Saya juga harap kerajaan bantu kami dari segi prosedur dalam membeli rumah seperti dokumen-dokumen supaya senang untuk kita selesaikannya,” menurut Quratul Aini.

Penolong pengurus bahagian sumber manusia, Siti Nabila Ishak turut bersetuju supaya kerajaan memudahkan urusan permohonan membeli rumah kepada pembeli.

Siti Nabila
Siti Nabila

“Proses membeli rumah ini memang tidak mudah kerana prosedurnya berperingkat jadi ia makan banyak masa dan tenaga.

“Jadi saya harap kerajaan mempercepatkan proses-proses berkenaan supaya tidak menyusahkan rakyat,” jelasnya.

Sementara itu, pekerja swasta, Mohd Ardian Alwi berkata, inisiatif yang dilaksanakan kerajaan itu merupakan satu tindakan berkesan untuk kumpulan B40 dan M40 membeli rumah.

Mohd Ardian
Mohd Ardian

“Saya rasa pada zaman di mana ekonomi merosot dan harga barang naik, kalau rumah harga RM500,000 memang tidak mampu dimiliki golongan B40 tetapi kalau di bawah RM100,000 itu satu inisiatif yang bagus.

“Tetapi kita kena tengok dulu struktur rumah tersebut. Mungkin perlu sediakan sekurang-kurangnya tiga bilik selesa untuk keseluruhan keluarga B40 yang akan membeli rumah tersebut nanti,” katanya.

Di samping itu, penunggang motosikal khidmat penghantaran (p-hailing), Masri Noordin berkata, kadar gaji untuk golongan B40 wajar dinaikkan seiring dengan kenaikan kos sara hidup serta harga rumah di negara ini.

Masri
Masri

“Harga rumah di negara ini semakin lama, semakin tinggi. Kami tidak mampu sebab gaji kami rendah, jadi tahap untuk buat pinjaman itu semakin susah nak diluluskan.

“Sekarang ini kos barang, sara hidup dan rumah semakin tinggi, jadi kalau boleh gaji golongan seperti kami ini pun patut dinaikkan juga setaraf dengan kos sara hidup,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!