Kerajaan, pihak swasta perlu kerjasama sedia pembiayaan sosial
SHAH ALAM - Penyediaan pembiayaan sosial membabitkan kerjasama strategik agensi kerajaan dan pihak berkaitan termasuk institusi kewangan merupakan kaedah terbaik boleh dilaksanakan bagi membantu memudahkan pemilikan rumah oleh rakyat Malaysia.
Pakar ekonomi yang juga Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, pelaksanaan pembiayaan sosial menawarkan penyelesaian lebih baik khususnya kepada kumpulan B40 dan M40 berbanding langkah kemudahan pinjaman dan pembiayaan.
“Berdasarkan prestasi ekonomi semasa negara, kolaborasi strategik dengan pihak swasta dan agensi berkaitan dilihat sebagai kaedah terbaik dan mesti digerakkan untuk menangani isu ini yang sebenarnya bukan isu baharu.
“Ia menggabungkan kolaboratif antara kerajaan, institusi kewangan dan agensi lain berkaitan. Misalnya Majlis Agama Islam Negeri boleh melakukannya menerusi instrumen wakaf bagi membolehkan kos pembangunan projek lebih rendah berbanding kaedah biasa.
“Bayangkan jika subsidi kerajaan bagi pemilikan rumah ini diteruskan dalam keadaan kos pembangunan perumahan adalah rendah, jumlah bayaran bulanan peminjam tentu kecil dan sekali gus mempermudahkan pemilikan rumah,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Azrin berkata, proses memudahkan pemilikan rumah melalui pinjaman dan pembiayaan dilihat kurang berkesan kerana kebergantungan bank terhadap aspek keuntungan dalam operasi mereka.
“Jumlah bayaran balik pinjaman dan pembiayaan ini akan menentukan kadar bayaran balik bulanan. Makin besar keuntungan yang dikenakan oleh bank, makin besar jumlah hutang peminjam.
“Agak sukar bagi bank untuk menurunkan margin keuntungannya kerana bank ada komitmen dengan pihak pendeposit, pemegang saham, pelabur dan sebagainya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!