'Tiada perubahan sejak beberapa tahun’

Shafie , Ismon dan Siti Maisarah
Shafie , Ismon dan Siti Maisarah
A
A
A

BATU PAHAT - Penduduk di Kampung Sungai Buloh, Senggarang berharap pemimpin yang dipilih mewakili kawasan mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor rajin turun padang dan menyelesaikan masalah rakyat berikutan kampung tersebut dikatakan tiada perubahan sejak beberapa tahun termasuk dari sudut kebajikan, penyelenggaraan dan kemudahan.

Hasil tinjauan Sinar Harian di kawasan tersebut mendapati antara masalah terbesar dihadapi mereka adalah capaian internet lemah dan sistem perparitan yang tidak diselenggarakan sehingga ia boleh menyebabkan berlakunya banjir.

Menurut seorang pekebun, Shafie Dahlan, 36, berkata, pemimpin seharusnya rajin turun padang dan mendengar keluhan rakyat serta meninjau permasalahan yang dihadapi di kampung tersebut.

"Kalau boleh pemimpin turun padang tengok suasana kampung ini. Pemimpin ini seharusnya dipilih dengan betul, tolonglah rakyat dengan kesusahan rakyat, macam saya tinggal di kampung dengan kos sara hidup yang tinggi.

"Macam sebelum ini, mereka dapat jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen, kita nak pergi tempat dia di pejabat pun tiada orang. Macam mana? Itu masalahnya.

"Jadi kalau boleh sama ada pemimpin muda ke tua, tiap-tiap minggu turun padang tengok rakyat supaya mereka tahu kesusahan hidup kita. Tidak perlu ada program, terus turun ronda-ronda, itu baru cara pemimpin," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Selain itu, Siti Maisarah Kasni, 40, berkata, masalah capaian internet yang dihadapi penduduk kampung di kawasan berkenaan kurang memuaskan sehingga ada antara mereka terpaksa mencari rangkaian tersebut di luar rumah.

Antara masalah yang dihadapi penduduk Kampung Sungai Buloh, sistem perparitan yang tidak diselenggarakan
Antara masalah yang dihadapi penduduk Kampung Sungai Buloh, sistem perparitan yang tidak diselenggarakan

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, perkara tersebut menjadi semakin sukar semenjak pelaksanan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan peningkatan kes Covid dalam negara.

"Masalah internet dekat sini sangat teruk, sedangkan budak-budak perlukan untuk pembelajaran. Kalau tidak cukup, mereka sehingga terpaksa pergi tepi jalan, kalau macam saya ada kedai, anak-anak akan pergi sana untuk PdPR tetapi sampai pukul berapa boleh duduk kat situ.

"Selain itu, macam pendaftaran vaksinasi untuk anak-anak kena melalui internet, kalau 'loading' sampai hari ini pun saya tidak isi lagi. Banyaklah masalah sebab sekarang ini (internet) dah jadi keperluan untuk rakyat.

"Maka sepatutnya wakil-wakil rakyat perlu ambil perhatian isu ini," ujarnya.

Ismon Ahmad, 72, pula berpendapat bahawa wakil rakyat perlu konsisten dengan pembangunan di setiap kampung supaya lebih adil dan saksama terutama dari sudut bantuan dan peruntukan dalam membaik pulih kawasan kampung.

Ini kerana katanya, segelintir kampung mendapat bantuan manakala kampung yang lain pula seolah-olah tidak diberi perhatian.

"Mereka seharusnya tahu tugas sendiri, macam sekarang Covid-19, musim hujan kemudian banjir dan lubang dekat jalan raya dah setahun lebih dibiarkan hanya diletakkan daun kelapa sawit, kalau bawa motor boleh jatuh," katanya.

Beliau turut menasihatkan mana-mana pemimpin kawasan mengambil tahu kawasan masing-masing dengan sebaik mungkin bagi memastikan kehidupan penduduk terbela.

"Orang bawah ini tidak puas hati sekiranya cara pimpinannya tidak betul. Takkanlah kita nak beritahu baharu nak buat, kenapa jadi pemimpin kalau macam itu? Hendak jumpa pun susah dan kadang-kadang rakyat bersuara tetapi belum tentu didengar," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!