Syarat dos penggalak solat Jumaat diperkenan Sultan Selangor

Mohd Zawawi - Foto fail Bernama
Mohd Zawawi - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor prihatin dengan keluhan dan rungutan umat Islam di Selangor yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat pada Jumaat lalu berikutan belum menerima dos penggalak Covid-19.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, ketetapan tersebut adalah berdasarkan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui surat arahan dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 21 Februari.

Menurutnya, perkenan tersebut tanda keprihatinan baginda untuk mengelakkan jangkitan Covid-19 setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berikutan perkembangan terkini wabak tersebut.

"Pendekatan menggalakkan rakyat Selangor mengambil dos penggalak adalah bertepatan dengan salah satu prinsip Maqasid Syariah iaitu ‘memelihara nyawa.’

"Kerajaan Selangor amat prihatin terhadap kesihatan dan kemakmuran rakyat serta sentiasa berusaha mengambil tindakan terbaik untuk mencapai maksud tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, kerajaan Selangor yakin bahawa perkenan Sultan Sharafuddin yang mewajibkan pengambilan dos penggalak bagi menyertai solat Jumaat di masjid adalah berasaskan konsep Fiqhiyyah iaitu sadd adz-dzara’i.

"Konsep ini bermaksud mencegah sesuatu perkara yang boleh membawa ke arah kerosakan dan bahaya.

"Kerajaan Selangor menasihati rakyat negeri agar segera mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 bagi memastikan kesihatan diri sendiri, keluarga dan kepentingan awam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dos penggalak tersebut boleh diambil secara percuma di pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) berhampiran.

Pada 22 Februari lalu, JAIS menetapkan hanya jemaah lengkap dua dos vaksin dan dos penggalak dibenarkan hadir menunaikan solat Jumaat di masjid seluruh Selangor berkuat kuasa 25 Februari.

Bagaimanapun, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) tersebut menimbulkan rasa kurang senang segelintir jemaah yang menularkan video rasa tidak puas hati tersebut di platform media sosial.

Namun begitu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan syarat berkenaan hanya terpakai kepada masjid dan surau di negeri Selangor sahaja dan SOP solat berjemaah di negeri lain masih seperti biasa, iaitu lengkap dua dos.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!