BN pasang strategi lemahkan pengaruh Muhyiddin di utara Johor

Saarani
Saarani
A
A
A

TANGKAK - Strategi Barisan Nasional (BN) untuk melemahkan pengaruh Tan Sri Muhyiddin Yassin mula kelihatan susulan beberapa pemimpin tertingginya memulakan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula di bahagian utara negeri itu.

Dapat dilihat kempen dimulakan dengan kemunculan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kawasan Pagoh yang merupakan 'kubu kuat' Muhyiddin sebagai ahli Parlimen.

Kini Muhyiddin merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pada Ahad, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkempen di kawasan Ayer Hitam melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja dan Parit Yaani.

Tidak ketinggalan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang ‘ditugaskan’ untuk 'menjaga' Pagoh pada PRN tersebut.

Strategi itu ternyata jelas boleh difahami berdasarkan kenyataan Saarani sendiri yang mengakui bahawa sememangnya tumpuan pemimpin BN adalah untuk mengurangkan pengaruh Muhyiddin yang dilihat kuat di bahagian utara Johor.

“Sudah tentu dan tanpa perlu berselindung, saya dari Perak menjaga Pagoh. Orang-orang Pagoh tidak hilang hormat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi mereka didapati masih setia kepada UMNO dan BN. Seperti kita tahu, Muhyiddin ialah bekas Ketua UMNO Bahagian Pagoh.

“Dengan itu kami yakin kedua-dua DUN dalam Pagoh iaitu Bukit Pasir dan Bukit Kepong akan dapat dimenangi oleh BN,” katanya dalam wawancara ekslusif bersama lima media terpilih, pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Menurut Saarani, selain Pagoh, BN juga memberi tumpuan ke atas Parlimen Ledang susulan satu DUN iaitu DUN Gambir dahulunya pernah diwakili oleh Muhyiddin.

“Tiga tempat ini (Bukit Pasir, Bukit Kepong dan Gambir) sangat penting dan saya dapat lihat perubahan besar sikap dalam kalangan pengundi. Mereka tidak hilang hormat kepada Muhyiddin tapi beri undi kepada BN dengan harapan BN akan dapat menubuhkan kerajaan stabil serta kuat. Itu pegangan pengundi-pengundi sekarang,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pertandingan empat penjuru yang mungkin memberi kemenangan kepada BN, Saarani yakin, ia kelebihan kepada mereka (BN).

Kata Saarani, beberapa tempat dilihatnya menunjukkan BN telah mempunyai 40 peratus penyokong tegar di Johor.

Menurutnya, baki 60 peratus (penyokong) pula akan dibahagi kepada empat atau tiga parti yang bertanding dalam PRN Johor kali ini termasuk BN.

“BN sudah ada 40 peratus dan kena cari lagi 10 peratus untuk jadi 50 peratus. Jika 50 peratus, ia sudah selamat untuk memberi kelebihan kepada BN,” ujar Saarani.

Hari pengundian bagi PRN Johor akan berlangsung pada 12 Mac ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!