Dua kilang musnah terbakar di Shah Alam
SHAH ALAM – Sebanyak dua buah kilang musnah dalam kebakaran di dua lokasi berasingan di sini pada Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, dalam kejadian di Jalan Beremban, Seksyen 15 di sini sebuah kilang percetakan terbakar hampir 90 peratus.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.10 pagi tadi dan menggerakkan jentera ke lokasi kejadian.
"Tujuh jentera dengan kekuatan 40 anggota dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sementara itu, dalam satu lagi kejadian sekitar jam 1.30 pagi, sebuah kilang di Jalan Sepat, Seksyen 17 di sini dilaporkan 50 peratus musnah.
Bagaimanapun Norazam berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan di kedua-dua lokasi kejadian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!