Remaja belanja puluhan ribu miliki 'Camper bus'
KUALA LUMPUR - Ketika rakan seusianya berlumba-lumba memiliki beg tangan atau kereta berjenama mewah, Nur Amira Syahira Azizul Abidin memilih membeli bas lelong untuk dijadikan camper bus.
Lebih membanggakan, gadis berusia 19 tahun ini membelanjakan wang puluhan ribu ringgit hasil pendapatannya sebagai pencipta kandungan YouTube sejak berusia lapan tahun bagi merealisasikan impian memiliki ‘rumah bergerak’ dilengkapi antaranya ruang rehat, tempat tidur dan dapur.
Tidak cukup dengan itu, bas jenama Hino berusia 19 tahun dan mempunyai 23 tempat duduk yang dibelinya dalam satu jualan lelong pada Januari tahun lepas juga mempunyai kipas pengudaraan dan generator berfungsi menjana tenaga elektrik serta ruang penyimpan kargo bermodal sekitar RM10,000 hingga RM15,000.
"Saya lebih mementingkan kemudahan dalam bekerja berbanding memenuhi kehendak untuk bergaya. Kemudahan ini turut memberi lebih peluang untuk saya meluangkan masa bersama keluarga tercinta,” katanya kepada Bernama.
Pemain dram profesional itu berkata, walaupun bas tersebut sudah berusia 19 tahun, binaan dan enjinnya masih dalam keadaan elok, malah semua proses pengubahsuaian hanya mengambil masa setahun untuk siap sepenuhnya pada Disember lepas.
"Saya mendapatkan khidmat nasihat daripada syarikat perunding sebagai rujukan supaya segala proses pengubahsuaian boleh dilakukan tanpa melanggar undang-undang jalan raya."Saya juga gemarkan susun atur yang ringkas, kemas dan sedap mata memandang, malah setiap dekorasi dalamannya hasil cita rasa saya selepas memperoleh idea daripada YouTube,” kata Nur Amira Syahira yang berhasrat mengembara mengelilingi Semenanjung dengan keluarganya menggunakan camper bus itu.
Anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu berkata kenderaan tersebut bukan sahaja memudahkannya bergerak dengan cepat dan selamat, bahkan menjimatkan kos penginapanya.
"Saya kerap mengembara bagi membuat rakaman untuk kandungan YouTube. Sebelum ini, saya perlu menyewa hotel atau homestay yang tentunya memerlukan kos besar.
"Lagipun, inilah masanya saya menghabiskan masa bersama keluarga selain dapat mengurangkan risiko daripada terkena Covid-19 yang semakin menular,” katanya yang mempunyai hampir 2.7 juta pengikut di saluran YouTube dan 1.4 juta pengikut di akaun TikTok.
Anak sulung daripada tiga beradik ini turut menyimpan impian untuk mempunyai tapak perkhemahan sendiri dalam tempoh tiga tahun akan datang dan masih mencari lokasi bersesuaian yang mudah diakses serta luas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!