Calon Muda Bukit Kepong mahu seimbang pembangunan di Johor
BUKIT KEPONG - Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong berhasrat menyeimbangkan pembangunan luar bandar dan bandar di Johor.
Nurafiqah M Zulkifli berkata, ketidakseimbangan pembangunan antara kedua-duanya dilihat sangat ketara bagi negeri tersebut.
“Apabila bercakap mengenai soal pembangunan, hanya fokus kawasan Johor Bahru iaitu bandar besar. Apa kawasan luar bandar dapat?
“Sebagai seorang yang berasal dari wilayah Johor utara, pembangunan-pembangunan di Johor tidak dinikmati sepenuhnya oleh kami,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama Muda, pada Ahad.
Kata Nurafiqah, pada pandangannya penduduk di DUN Bukit Kepong selayaknya mendapat pembangunan lebih baik
“Bukan hendak bercakap soal pembangunan besar-besaran namun mengenai fasiliti dan perkhidmatan asas. Misalnya penduduk di sini (DUN Bukit Kepong), kalau mahu membeli barang keperluan asas perlu ke pekan Labis, Pagoh dan Segamat.
“Penduduk yang tidak mempunyai kenderaan akan mengalami kesukaran. Ada juga penduduk mengadu lokasi untuk mengisi minyak kenderaan agak jauh. Isu perkara-perkara asas seperti ini yang tidak selesai sepatutnya tidak berlaku,' kata calon berusia 31 tahun itu.
Di samping itu, aspirasi Nurafiqah juga adalah untuk memperbanyakkan kuota rumah mampu milik kepada penduduk di Bukit Kepong memandangkan pada masa ini sukar untuk mendapatkan kuota rumah mampu milik di Johor.
“Sangat biasa jika kita lihat di kawasan kampung ada dua keluarga tinggal dalam satu rumah. Ia tidak baik untuk kualiti hidup kerana sepatutnya satu keluarga memiliki sebuah rumah.
“Jadi, aspirasi saya adalah untuk memperbanyakkan kuota rumah mampu milik. Kita perlu kreatif,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!