Memori jambatan Pulau Sekati 'hanyut' bersama banjir
KUALA TERENGGANU - Kemusnahan yang diakibatkan oleh bencana banjir bukan sahaja merosakkan harta benda malah ada juga memori indah yang turut ‘hanyut’ bersama arus dan menambah rasa hiba dalam kalangan penduduk yang terjejas.
Sedih dan pilu, itulah yang dirasai penduduk apabila sebahagian jambatan kayu yang menghubungkan Kampung Pulau Sekati dan Kampung Paloh dekat sini musnah dibawa arus deras lewat petang semalam akibat banjir yang melanda negeri ini sejak empat hari lepas.
Seorang penduduk Kampung Pulau Sekati, Wan Ramlah Wan Sharif, 61, berkata, kejadian itu meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada penduduk kampung kerana ia bukan sekadar menghubungkan dua kampung, malah sering menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong.
"Orang ramai datang bergambar setiap kali ke Kuala Terengganu kerana keunikannya yang diperbuat daripada kayu dan suasana kampung tradisi masih kekal seolah-olah berada di sekitar tahun 1970-an. Bila anak ‘kabor’ (beritahu) jambatan ini hanyut, saya terkejut dan sangat sedih,” katanya kepada Bernama pada Isnin.
Menurutnya, jambatan itu dibina pada 1992 dan menjadi nadi perhubungan penting untuk penduduk sebelum jambatan baharu siap dibina pada 2017.
"Orang kampung panggil jambatan itu 'retok kayu Pulau Sekati' dan ia hanya boleh dilalui motosikal, basikal atau berjalan kaki, memang banyak sangat jasanya untuk kami. Sebelum ini kalau banjir pun, retok kayu tu rosak sikit dan boleh dibaiki, cuma kali ini arus terlalu kuat,” katanya yang berharap agar kerajaan membina semula jambatan kayu itu.
Seorang usahawan, Wan Farhana Wan Tazilah, 33, pula, berkata 'kehilangan' jambatan itu amat dirasai kerana ia adalah antara lokasi kegemarannya untuk merakamkan foto terbaik bagi semua koleksi batik Terengganu yang dijualnya.
"Tempat jatuh lagi kan dikenang, inikan pula jambatan yang menjadi 'saksi bisu' kepada saya kerana membesar dari kecil di sini dan percayalah, sesiapa sahaja yang pernah datang ke sini pasti akan merindui kenangan ketika berada di atas jambatan kesayangan penduduk Terengganu ini.
"Banyak kenangan yang terpahat bersama keluarga dan rakan-rakan kerana berada di jambatan ini, hati sentiasa tenang dengan keindahan alam semulajadi yang masih terpelihara walaupun sebenarnya terletak di tengah bandar raya," katanya.
Sejurus jambatan itu hanyut, media sosial dibanjiri pelbagai video dan gambar kenangan orang ramai di jambatan itu yang sering dikunjungi terutamanya pada hari-hari istimewa seperti hari perkahwinan dan hari raya bersama insan tersayang.
Suasana kemusnahan di sekitar jambatan itu turut dikongsi melalui siaran langsung di Facebook rasmi Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan mendapat pelbagai reaksi daripada warga net yang berduka cita dengan kejadian itu.
Paling terkesan ialah kanak-kanak di Pulau Sekati yang belajar di Sekolah Kebangsaan Paloh kerana mereka yang berbasikal terpaksa mengambil masa 15 hingga 20 minit menggunakan jambatan baharu berbanding lima minit sahaja sebelum ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!