Penghantar makanan maut, motosikal terbabas
KUANTAN - Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggang terbabas masuk ke dalam Sungai Galing, Jalan Beserah di sini pada malam Ahad.
Dalam kemalangan kira-kira jam 8.20 malam itu, mangsa, Muhamad Rafiqi Mohd Nazri,21 dari Kampung Selamat di sini cedera pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan menghala ke Beserah.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang skuter jenis SYM dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan terjatuh ke dalam sungai.
"Mangsa dipercayai terbabas sendiri dan tidak melibatkan kenderaan lain.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Kamarulzaman berkata, siasatan di lokasi mendapati kemalangan berlaku di laluan lurus dengan keadaan permukaan jalan basah.
"Kemalangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!