Selangor perlu peruntukan tambahan RM200 juta baiki jalan rosak
SABAK BERNAM - Kerajaan negeri akan membentangkan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta bagi membaik pulih jalan rosak akibat banjir pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Mac depan.
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian Negeri, Ir Izham Hashim berkata, penambahan itu perlu dilakukan bagi membaik pulih beberapa jalan rosak dilanda banjir tahun lalu yang dikenal pasti memerlukan perbelanjaan tinggi.
Menurutnya, peruntukan baik pulih jalan banjir sebelum ini diluluskan kerajaan negeri dan sebahagian besar disiapkan mengikut masa ditetapkan.
"Kita jangkakan baik pulih jalan kritikal selesai pada Mac ini membabitkan beberapa kawasan antaranya di Sri Muda, Sepang, Gombak dan Kuala Selangor," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Izham berkata, selain itu, kerajaan negeri juga telah meluluskan tiga jenis peruntukan membabitkan sistem perparitan yang dikategorikan sebagai darurat, segera dan jangka masa panjang.
"Misalnya sistem perparitan darurat mesti disiapkan dalam tempoh segera, manakala baik pulih sistem perparitan lain pula dalam tempoh yang telah ditetapkan," ujarnya.
Malah, katanya, beliau juga sudah membentangkan keseluruhan perancangan pengurusan air dan banjir negeri pada Permukiman (Retreat) Exco Selangor yang berlangsung pada 23 Februari lalu di Langkawi, Kedah.
Katanya, perancangan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM7 bilion dan secara dasarnya dipersetujui Exco pada permukiman terbabit.
"Kita bersetuju untuk menyelesaikan beberapa perkara antaranya kolam, sistem saliran dan banjir.
"Saya akan perincikan semula perkara ini dan mendapatkan maklum balas bagi menangani masalah berkaitan dengan segera," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!