Malam gemilang Melaka
BARISAN petinju Melaka memperagakan kekuatan mereka apabila berjaya memenangi kesemua tali pinggang yang dipertandingkan pada malam kedua Kejohanan Kuda Merah Muaythai Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2022.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Titiwangsa pada Sabtu, Wan Mohd Sabri memulakan malam gemilang Melaka apabila memenangi tali pinggang Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) tajaan RR Sandora Engineering selepas menang tipis ke atas lawannya, Kumaran Radha Krishnan daripada Red Wolves Muaythai Selangor melalui kiraan mata.
Mohd Nafizi Mat Nasir yang mewakili Rizq Muaythai Melaka kemudiannya menambah koleksi tali pinggang buat kem Melaka apabila mengalahkan Mohd Shahrol Hakim Rosli Red Army ATM Muaythai selepas pengadil memberhentikan perlawanan susulan lawannya mengalami luka pada bahagian dahi.
Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan Nafizi berjaya memenangi tali pinggang sensasi pada malam itu yang merupakan tajaan daripada syarikat perkhidmatan telekomunikasi, Red One.
“Alhamdulillah saya bersyukur kerana pada perlawanan ini saya tidak berdepan masalah untuk menewaskan lawan bagi memenangi tali pinggang buat pasukan pada kejohanan ini.
“Saya berharap kejayaan memenangi tali pinggang ini tidak hanya habis di sini sahaja. Saya harap sangat ia akan membantu menaikkan semangat saya menang pada kejohanan lain,” kata Nafizi yang memenangi kategori superfight.
Dalam satu lagi aksi superfight, Mohd Khairol Aizat Shamsol daripada Keris Muaythai Sik Kedah berjaya menewaskan lawannya, Mohamad Arash daripada Respect Fighter dengan kemenangan TKO pada pusingan pertama.
Dalam pada itu, petinju Jordan Top Team turut menampilkan aksi yang cemerlang apabila petinju mereka, Shamel berjaya merangkul Piala MSWP bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan selepas menumbangkan lawannya menerusi kemenangan TKO.
Selain Shamel, seorang lagi petinju Jordan Top Team, Putra Abdullah berjaya layak ke pusingan akhir kategori Super 4 60 kilogram selepas menumbangkan lawannya, Azizi Samsuddin daripada Kelab Muaythai Kuda Merah Subang.
Menanti Putra di pentas akhir ialah petinju daripada kelab Muaythai Bara Emas, Amirul Syafik Ubaidullah yang menewaskan Aminuddin Razak daripada Red Army Muaythai Club ATM dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!