Permohonan subsidi penternak ayam pedaging, penelur dibuka

Penternak ayam pedaging dan ayam penelur seluruh negara boleh memohon subsidi diumum kerajaan bermula hari ini (Isnin) hingga 6 Jun depan. - Gambar hiasan
Penternak ayam pedaging dan ayam penelur seluruh negara boleh memohon subsidi diumum kerajaan bermula hari ini (Isnin) hingga 6 Jun depan. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Penternak ayam pedaging dan ayam penelur seluruh negara boleh memohon subsidi diumum kerajaan bermula hari ini (Isnin) hingga 6 Jun depan.

Permohonan subsidi bagi pengeluar ayam daging dan telur telah pun dibuka sejak 5 Februari lalu hingga 5 Jun nanti.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan berkata, sebanyak RM528.52 juta disediakan untuk tujuan subsidi tersebut.

Menurut kenyataan itu, subsidi sebanyak 60 sen diberikan bagi setiap kilogram ayam pedaging dan lima sen bagi sebiji telur gred A, B dan C.

“Pemberian subsidi ini akan melibatkan penternak persendirian, penternak integrator atau semi-integrator dan juga penternak kontrak.

“Berdasarkan rekod pendaftaran penternak di seluruh negara, dianggarkan seramai 2,255 orang penternak akan menikmati subsidi ini,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Mengulas lanjut MAFI berkata, permohonan subsidi itu juga boleh dibuat di pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) berhampiran, malah garis panduan serta borang-borang permohonan boleh didapati melalui portal rasmi JPV.

“Pihak MAFI akan membuat penilaian ke atas pemberian subsidi bagi memastikan proses pembayaran subsidi dapat berjalan dengan lancar dan semua penternak yang terlibat dapat menggunakan subsidi ini bagi meningkatkan kapasiti operasi ladang sekali gus menjamin bekalan ayam dan telur berterusan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, MAFI berkata, dengan pemberian subsidi itu, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban penternak susulan peningkatan kos terutama kos makanan yang meliputi 70 peratus dari kos pengeluaran, selain kos logistik, pekerja, utiliti dan ubat-ubatan.

“MAFI percaya langkah intervensi kerajaan melalui pemberian subsidi kepada penternak akan dapat menstabilkan kembali bekalan sekali gus memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!