Kempen guna bahasa Mandarin tarik perhatian penduduk

Hishamuddin (tengah) berbual menggunakan bahasa Mandarin ketika berkempen di Pekan Nanas pada Isnin.
Hishamuddin (tengah) berbual menggunakan bahasa Mandarin ketika berkempen di Pekan Nanas pada Isnin.
A
A
A

PONTIAN - Calon Parti Warisan (Warisan) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri ( DUN) Pekan Nanas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Hishamuddin Busri, 50, menggunakan bahasa Mandarin ketika berkempen.

Hishamuddin berkata, kelebihan boleh berbahasa Mandarin itu dianggap sebagai satu bonus untuk dirinya mendekati kira-kira 53 peratus pengundi Cina di kawasan Pekan Nanas.

Katanya, kebolehan berbahasa Mandarin itu bermula sejak bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina ( SJKC) Na Ma South Malaya dan hasil bergaul dengan rakan- rakan Cina di Pekan Nanas.

"Kempen sekarang ini cukup seronok kerana masyarakat di DUN Pekan Nanas cukup teruja menerima kehadiran saya sebagai calon Warisan.

"Penduduk di Pekan Nanas mengenali saya. Maka tiada masalah untuk mendekati mereka kerana sebelum ini saya juga berbahasa Mandarin dengan masyarakat Cina di Pekan Nanas," katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan kempen bersama Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pekan Nanas pada Isnin.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata kehadiran Presiden Warisan ke DUN Pekan Nanas memberi semangat kepada jentera pilihan raya.

Jelasnya, beberapa isu turut dibangkitkan penduduk yang memerlukan perhatian segera termasuk isu banjir di Kampung Paya Embun, Kampung Jasa Sepakat dan Kampung Parit Pasir.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, isu peluang pekerjaan kepada anak muda perlu diberi perhatian memandangkan kebanyakkan anak tempatan berulang- alik ke Johor Bahru atau Iskandar Puteri untuk mencari rezeki.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!