'Panik sebab angin kuat, laut bergelora'

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

KUALA BESUT - Terkandas di Pulau Perhentian di sini, selepas tidak dapat pulang ke tanah besar akibat cuaca buruk, mencetuskan rasa panik dan cemas dalam kalangan pelancong apatah lagi melihatkan keadaan angin kencang serta laut bergelora.

Berkongsi kisah terkandas di pulau peranginan itu sejak Jumaat lepas, Mohd Azman Awang Ahmad, 47, berkata, keadaan ketika itu memang agak merisaukan dengan angin kencang berkisar antara 30 hingga 35 knot dan pokok tumbang di sana, sini.

Bagaimanapun, beliau bersyukur tiada dalam kalangan pelancong berkenaan yang cedera dan masing-masing cuba bertenang sehingga diselamatkan pada Isnin.

"Alhamdulillah, saya tidak menghadapi banyak masalah kerana hanya bercuti berdua dengan isteri dan pihak resort tempat saya menginap juga sangat baik tidak mengenakan bayaran untuk tempoh penginapan lebih.

"Kasihan melihat ada keluarga duduk di resort lain terpaksa berpindah ke homestay di dalam kawasan kampung yang lebih murah kerana tak mampu nak tanggung bayaran tambahan dan ada yang bawa anak kecil, sampai lampin pakai buang habis,” katanya ditemui sebaik tiba di Terminal Pelancongan Kuala Besut di sini, pada Isnin.

Pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Besut itu berkata, dia dan isteri tiba di pulau itu pada Rabu lepas dan sepatutnya pulang pada Jumaat, namun keadaan cuaca menyebabkan ‘percutian’ mereka dilanjutkan sehingga hari ini.

Sementara itu, Fatah Salleh, 57, berkata, terkandas di pulau peranginan selama beberapa hari bukanlah sesuatu yang menyeronokkan walaupun ia merupakan destinasi pelancongan terkemuka, kerana pelbagai implikasi perlu diserap terutama tambahan perbelanjaan.

Fatah, yang tinggal di Pasir Mas, Kelantan yang bercuti bersama keluarganya seramai 12 orang berkata, mereka sepatutnya berada di pulau itu untuk tempoh tiga hari dua malam, tetapi akibat terkandas terpaksa bayar untuk tambahan penginapan.

Artikel Berkaitan:

"Saya tiba di pulau ini pada Khamis dan sepatutnya pulang Sabtu lepas, mujur hanya dikenakan separuh bayaran untuk tambahan hari di sana, selain itu kami juga tidak hadapi masalah kerana makanan masih ada di warung berdekatan resort dan dijual pada harga berpatutan.

"Tapi saya diberitahu bekalan semakin berkurangan dan sekiranya cuaca buruk berlanjutan kemungkinan besar bekalan makanan terputus,” katanya.

Fatah memberitahu perasaan risau dan bimbang tetap ada kerana dalam rombongan keluarganya terdapat lima kanak-kanak berusia setahun hingga 10 tahun.

Kesemua 385 pelancong termasuk 18 kanak-kanak dan dua bayi yang terkandas di Pulau Perhentian di sini sejak Jumaat lepas selamat dibawa keluar dari pulau tersebut hari ini menggunakan 15 bot pelancong bermula jam 7.30 pagi tadi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!