Banjir: Calon SPM tidak patah semangat, utamakan kad pengenalan
PASIR MAS - Banjir yang melanda Kelantan ketika ini tidak mematahkan semangat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terkesan untuk menduduki peperiksaan itu meskipun hanya berbaki dua hari lagi.
Nur Hidayah Nawawi, 18, berkata, banjir kali ini sangat mengejutkan kerana kawasan rumahnya di Kampung Padang Licin, Rantau Panjang tidak pernah dinaiki air sebelum ini setiap kali musim tengkujuh.
"Air di dalam rumah sahaja sudah naik sampai 0.5 meter, sebab itu saya dan keluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Gudang Kastam.
"Oleh kerana barang yang boleh dibawa sangat terhad, saya hanya sempat membawa kad pengenalan, uniform sekolah dan telefon bimbit untuk ulang kaji," katanya kepada Sinar Harian.
Dia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periok berkata, semua buku-buku terpaksa ditinggalkan di rumah tetapi ulang kaji masih tetap boleh dibuat hanya dengan menggunakan telefon.
Katanya, selain mengulang kaji pelajaran, kad pengenalan turut diberikan perhatian kerana tanpanya sukar untuk dia menduduki peperiksaan.
Nur Hidayah berkata, walaupun suasana di PPS tidak selesa dan bising tetapi dia tetap bersemangat mengulang kaji pelajaran demi memastikan persediaan menduduki SPM nanti berjalan lancar.
Bagi seorang lagi calon SPM, Nana Najihah Noh, 18, berkata, demi keselesaan dia memilih untuk berpindah ke rumah ibu saudaranya di Taman Sri Rantau selepas rumahnya di Kampung Tasek dinaiki air sedalam satu meter.
"Tahun lepas peperiksaan kami ditunda disebabkan Covid-19 tapi kali ini menjelang hari peperiksaan diuji pula dengan banjir.
"Sedih dan terkejut tetapi tetap bersemangat untuk menduduki peperiksaan kerana sudah lama ia dinantikan," katanya yang merupakan pelajar SMK Gual Periok.
Menurutnya, diharap banjir akan cepat surut dan mereka dapat menduduki SPM dengan selesa serta selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!