Helikopter bomba lakukan enam penerbangan hantar keperluan asas

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu melakukan enam penerbangan helikopter untuk menghantar ribuan kilogram barangan keperluan asas ke Felda Tersat di Hulu Terengganu. - Foto ihsan Felda Chuping perlis
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu melakukan enam penerbangan helikopter untuk menghantar ribuan kilogram barangan keperluan asas ke Felda Tersat di Hulu Terengganu. - Foto ihsan Felda Chuping perlis
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu pada Isnin melakukan enam penerbangan helikopter untuk menghantar ribuan kilogram barangan keperluan asas ke Felda Tersat di Hulu Terengganu, yang kini menjadi 'pulau'.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, helikopter itu berulang alik dari Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (FRAM) Wakaf Tapai ke Felda Tersat yang pada masa ini tidak boleh diakses melalui jalan darat.

"Bantuan bekalan itu adalah daripada pihak Felda Terengganu, kita tolong hantarkan ke kawasan yang terjejas dan syukur proses penghantaran melalui udara berjalan lancar walaupun terpaksa ulang-alik banyak kali," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Beliau berkata, walaupun dalam keadaan hujan renyai operasi yang bermula kira-kira 10 pagi tadi berjaya diselesaikan.

Selain menghantar bekalan kepada mangsa banjir, jabatan itu turut menggunakan helikopter untuk membuat pemantauan dari udara di kawasan-kawasan yang terjejas teruk akibat banjir besar sejak semalam.

Sementara itu katanya, jabatan bomba sentiasa bersiap siaga sekiranya khidmat jabatan itu diperlukan untuk sebarang kes kecemasan melibatkan penduduk di kawasan terjejas banjir yang terputus hubungan seperti jalan ditenggelami air sepenuhnya dan tidak boleh diakses kenderaan biasa.

"Misalnya malam tadi kami dapat maklumat ada pesakit jantung perlu dibawa segera ke Hospital Besut. Bomba berjaya membawa pesakit keluar dan hantar ke hospital pada malam tadi juga," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!