68 mangsa terperangkap di kem rekreasi berjaya diselamatkan
KUALA BERANG - Seramai 68 orang termasuk 20 kanak-kanak berjaya diselamatkan selepas terperangkap selama 24 jam akibat banjir sejak awal pagi semalam, di Kem Rekreasi Budi, Kampung Belukar Bukit di sini, pada Isnin.
Seorang penyelia kem, Farhan Zakaria berkata, hujan lebat berterusan sejak Jumaat lepas menyebabkan kawasan itu dinaiki air dan selut secara mendadak, sehingga menghanyutkan 10 khemah peserta bengkel solat yang sedang dianjurkan di situ.
"Air naik secara tiba-tiba pada jam 5.30 pagi di kawasan penginapan peserta pada paras dada orang dewasa. Jadi saya bersama beberapa penyelia kem yang lain bergegas membawa para peserta mendaki bukit yang terletak di bahagian belakang kem untuk berlindung di dalam surau yang terdapat di situ.
"Kami juga terpaksa mengangkat seorang ahli keluarga peserta yang merupakan warga emas berkerusi roda,” katanya kepada pemberita selepas operasi menyelamat selesai dijalankan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang.
Katanya, ketika kejadian pada awal pagi itu mereka sukar mendapatkan bantuan ekoran terputus liputan telefon dan internet, manakala kenderaan yang ada rosak akibat ditenggelami air.
Sementara itu, Ketua BBP Kuala Berang Hanafi Mohd berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut semalam, namun tidak dapat masuk ke kawasan tersebut kerana laluan darat terputus dan air deras, selain ia terletak di kawasan hutan.
"Pagi tadi apabila air mulai surut barulah pasukan bomba dapat ke sana,” katanya dan memaklumkan operasi tersebut, yang bermula jam 8.30 pagi hingga 1 tengah hari itu, disertai sembilan anggota dengan menggunakan tiga buah lori dan sebuah pacuan empat roda. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!